FAMA sasar jualan RM500,000 melalui AgroCraft Bazaar Aidilfitri

Zulkifli (dua dari kiri) merasmikan AgroCraft Bazaar Aidilfitri 2021 di Pasaraya 1st Avenue pada Rabu.
Zulkifli (dua dari kiri) merasmikan AgroCraft Bazaar Aidilfitri 2021 di Pasaraya 1st Avenue pada Rabu.
A
A
A

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sebanyak RM500,000 hasil jualan bagi AgroCraft Bazaar Aidilfitri tahun ini melibatkan beberapa lokasi di negeri ini.

Pemangku Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Junaidi Raziqin berkata, program tahun ini melibatkan 29 usahawan pemasar bumiputera dan 63 usahawan bumiputera pengeluar biskut raya.

Menurutnya, AgroCraft Bazaar Aidilfitri diadakan di beberapa lokasi serentak iaitu Pasaraya 1st Avenue, Pasaraya Sunway Carnival dan tiga rangkaian Agrobazaar K-Shoppe.

"Tiga rangkaian tersebut membabitkan dua di Kepala Batas iaitu ZBY Cekal Niaga dan Seri Indah Bakery, Warisan Generasi di Wakaf Sitee Aisah, Ibu Rich Global di Bertam, Daniz Venture di Aeon Big Seberang Jaya serta Al Naime di Econsave Jawi.

"Pelaksanaan program ini dibiayai melalui dana promosi produk usahawan bumiputera di bawah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang. Program ini bermula pada 9 April hingga 11 Mei," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran AgroCraft Bazaar Aidilfitri di sini pada Rabu.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Fokus Group Pembangunan Pertanian dan Industri Pengeluaran Makanan dan Keselamatan Rangkaian Makanan, Zulkifli Ibrahim.

Mohd Junaidi berkata, antara objektif program ialah mempromosi produk biskut dan kuih raya serta keperluan Aidilfitri oleh usahawan bumiputera Pulau Pinang.

"Agrobazaar ini juga merupakan 'one stop center' kepada pengunjung untuk mendapatkan keperluan seisi keluarga bagi produk makanan, pakaian dan hiasan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bagi memberi peluang kepada pengeluar biskut, pakaian batik dan selendang untuk memasarkan produk mereka di hypermarket melalui usahawan pemasar.

"Tujuan lain ialah mendedahkan usahawan kepada suasana pemasaran sebenar serta jaringan pemasaran yang lebih luas dan terbuka melalui agrobazaar.com.my," katanya.

Jelasnya, bazar berkenaan turut menampilkan produk kraftangan identiti Pulau Pinang termasuk batik, sulaman dan songkok.

"Kita juga melaksanakan program dengan 'low cost high impact' melalui kerjasama agensi dan hypermarket.

"Pelbagai aktiviti menarik juga dirangka bagi memeriahkan AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA itu antaranya pertandingan menganyam ketupat, pertandingan serta demonstrasi menghias kek dan pelbagai lagi," katanya.

Tambahnya usahawan yang terlibat dengan AgroCraf Bazar Aidilfitri FAMA itu juga digalakkan meneroka pasaran dalam talian melalui platform Agrobazar Online.