AMK buat laporan polis terhadap Hamzah

Mohammed Hafiz (kiri) selepas selesai membuat laporan polis di IPD Kampar pada Ahad.
Mohammed Hafiz (kiri) selepas selesai membuat laporan polis di IPD Kampar pada Ahad.
A
A
A

KAMPAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kampar membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini pada Ahad.

Ia berkaitan dakwaan isu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan menteri berkenaan dalam pelantikan serta penempatan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua AMK Cabang Kampar, Mohammed Hafiz Mohd Shariff berkata, campur tangan yang dilakukan oleh seorang menteri dikhuatiri menjejaskan dan mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung isu campur tangan itu adalah sesuatu yang perlu dipandang serius apatah lagi dalam kenyataan kepada media tempatan, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut telah mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular di media sosial berkaitan dengan beliau adalah benar.

"Saya membuat laporan polis ini bagi menggesa polis melakukan siasatan atas perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas menteri tersebut di atas pengakuannya yang secara jelas merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang serius terhadap urusan dalaman polis," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Kampar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, laporan polis berkenaan turut menyentuh mengenai pertukaran jawatan Ketua Polis Negara ketika negara diisytihar berada dalam tempoh darurat.

Katanya, dalam peruntukan Seksyen 15 Akta Polis 1967 secara jelas dinyatakan bahawa ketika darurat, pertukaran Ketua Polis Negara dan pegawai polis lain adalah tidak dibenarkan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita mahu siasatan telus dijalankan berhubung perkara ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Audio itu bukan mirip, saya mengaku itu saya' - Hamzah

Artikel Berkaitan: