Penerjun negara teruja kembali gegar kolam renang

Muhammad Syafiq kini memburu slot kelayakan bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Muhammad Syafiq kini memburu slot kelayakan bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

ATLET terjun negara, Chew Yiwei dan Muhammad Syafiq Puteh meluahkan rasa teruja selepas menjalani latihan pertama di Pusat Akuatik Tokyo pada Khamis menjelang kejohanan Piala Dunia Terjun yang bermula Sabtu ini.

Gandingan penerjun kebangsaan itu akan memburu slot kelayakan bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki ke Sukan Olimpik pada kejohanan itu, yang bakal berlangsung bermula 1 hingga 6 Mei di sebalik pengisytiharan darurat di beberapa wilayah Jepun termasuk Tokyo.

Yiwei berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur sangat baik bagi menjaga keselamatan walaupun perlu sentiasa berada di kawasan kuarantin serta tidak boleh keluar meninggalkan pusat kuarantin bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.

“Selain itu, segalanya terbaik di sini (Tokyo). Kami mempunyai rakan sepasukan dan persekitaran yang sentiasa menyokong antara satu sama lain di sini,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsikan kepada media.

Sementara itu, Muhammad Syafiq berpuas hati dengan segala peralatan di venue tersebut yang bakal menganjurkan Sukan Olimpik pada Julai depan.

Untuk layak ke temasya Olimpik, mereka perlu meraih kedudukan 18 terbaik bagi acara individu dan empat teratas untuk acara seirama.

Setakat ini, barisan penerjun negara terdiri daripada Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi kejohanan yang diadakan sebelum tercetus pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: