Miliki dua parang dalam kereta, penganggur dijel lima tahun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana memiliki dua bilah parang di dalam kereta sewa yang dipandunya, dua tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Khan Mohd Ayeb Khan, 24, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan hari ini.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 8 Disember 2019.

Muhammad Hafizul Khan dituduh memiliki parang berhulu berukuran 13.5 sentimeter yang dijumpai di belakang papan pemuka kereta yang dipandunya itu di Lebuhraya Besraya berhadapan dengan Pangsapuri Raya Permai menghala ke pusat bandar, Cheras di sini pada 2.30 pagi, 8 Disember 2019.

Dia dihukum mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kes kerana melibatkan senjata berbahaya.

Peguam C R Chua, yang mewakili Muhammad Hafizul Khan memohon hukuman minimum kerana anak guamnya telah insaf.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang anggota polis telah menahan sebuah kereta yang dinaiki Muhammad Hafizul Khan dan hasil pemeriksaan menjumpai dua bilah parang di belakang papan pemuka kereta tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: