53 kru KRI Nanggala 402 berdepan risiko keracunan karbon monoksida

KRI Nanggala 402 hilang di perairan Bali pada Rabu lalu. - Agensi
KRI Nanggala 402 hilang di perairan Bali pada Rabu lalu. - Agensi
A
A
A

JAKARTA - Pencarian kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 bersama 53 kru semakin getir apabila bekalan oksigen hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa jam lagi.

Difahamkan, kesemua kru terbabit mempunyai 'talian hayat' sehingga jam 3 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu sebelum kapal selam buatan Jerman itu kehabisan bekalan oksigen.

Namun bagi pakar operasi menyelamat tentera laut, timbul kebimbangan bahawa kesemua kru KRI Nanggala 402 berdepan keracunan karbon monoksida.

"Perkara yang menjadi kebimbangan utama ialah keracunan karbon monoksida.

"Maut mengundang biarpun bekalan oksigen masih ada pada kapal selam terbabit," kata Bryan Clark dari Institut Hudson yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Clark berkata, keadaan 'blackout' KRI Nanggala 402 juga memberi impak kepada daya ketahanan kru kerana kuasa diperlukan bagi menggerakkan kipas.

"Kuasa diperlukan untuk menggerakkan kipas yang menyalurkan udara melalui lilin oksigen dan bahan penyerap karbon dioksida.

"Tetap persoalan yang timbul, apakah faktor utama yang menyebabkan KRI Naggala 402 'blackout'? ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis tentera laut dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Ben Ho berkata, letupan torpedo juga boleh menyebabkan pemadaman kuasa.

"Sepanjang sejarah, pelbagai faktor termasuk kecacatan struktur dan letupan senjata telah menyebabkan kemalangan kapal selam.

"Memandangkan KRI Nanggala 402 melakukan latihan menggunakan torpedo hidup, ada kemungkinan salah satu peluru ini meletup,' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Indonesia (TNI) mengesan isyarat satu objek dengan kemagnetan tinggi ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) KRI Nanggala 402 yang hilang di perairan Bali.

Jurucakap TNI, Achmad Riad berkata, isyarat daripada objek tidak dikenal pasti itu dikesan pada kedalaman antara 50 dan 100 meter (m).

Beliau berkata, kapal dengan alat pengesan sonar sudah dihantar ke lokasi untuk mengenal pasti objek berkenaan. - Agensi