Nak turun Semenyih lagi, nak tembak lagi: Najib

A
A

SEMENYIH - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan beliau akan turun lagi ke Semenyih bagi membantu kempen BN dalam menghadapi PRK DUN Semenyih.

Berucap di hadapan penyokong BN di Flat Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau masih ‘menyimpan peluru’ dan akan menyerang lagi nanti.

“Banyak lagi saya nak cerita tapi nanti dulu, saya simpan peluru. Nak turun lagi nanti, nak tembak lagi,” kata Najib yang kemudian disambut sorakan daripada penyokongnya.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat Semenyih supaya tidak memberi kemenangan kepada PH kerana mereka telah ‘menipu’ berulang kali.

Najib ketika bersama penduduk Flat Baiduri, Bandar Tasik Kesum, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Najib ketika bersama penduduk Flat Baiduri, Bandar Tasik Kesum, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

“Kita kena beri isyarat kepada siapa yang tipu, bohong rakyat, nanti rakyat akan hukum dia sewaktu pilihan raya.

“Pilihan raya adalah masa untuk rakyat tunjuk bahawa mereka tidak reda ditipu. Kita mesti hukum mereka, ajar mereka supaya tidak menipu rakyat kerana rakyat tidak mudah ditipu.

“Kamu boleh tipu sekali tapi kamu tidak boleh tipu setiap masa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Najib merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Semenyih ekoran sambutan hangat diterima ketika beliau mengunjungi sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

“Tak pernah seumur hidup saya, orang berkurumun kiri dan kanan saya. Ada yang ambil swafoto, tak jadi, ambil sekali lagi.

“Atas eskalator, bawah eskalator, di semua kawasan pasar raya, semua datang nak sokong bossku,” katanya.