WUIF, Sinergi Media kembali kerjasama jayakan World #QuranHour

Hussamuddin (depan, dua dari kiri) bergambar bersama wakil media yang hadir ketika Taklimat Sinergi Media dan Sidang Media World #Quran Hour di sini pada Rabu.
Hussamuddin (depan, dua dari kiri) bergambar bersama wakil media yang hadir ketika Taklimat Sinergi Media dan Sidang Media World #Quran Hour di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan Sinergi Media kembali bekerjasama menjayakan program World #QuranHour kali ke-6 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei depan.

Pengerusi WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kerjasama tersebut bagi membantu menyebarkan kesedaran dan objektif yang cuba dicapai dalam kempen World #QuranHour.

Hussamuddin
Hussamuddin

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, menerusi kempen bersama itu diharap mampu mencipta gelombang baharu kepada masyarakat untuk turut bersama dalam program yang menjadikan Surah al-Mulk sebagai pilihannya kali ini.

“Kita akan bina momentum dan menguar-uarkan kepada orang awam untuk menggalakkan kembali penyertaan mereka dalam World #QuranHour kali ini,” katanya ketika berucap pada Taklimat Sinergi Media dan Sidang Media World #Quran Hour di sini pada Rabu.

Antara wakil media yang hadir ialah Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Sinergi Media merupakan gabungan yang terdiri daripada daripada pelbagai agensi media antaranya, Astro, TV Alhijrah, RTM, Bernama, Sinar Harian, Utusan Malaysia, The Star, Kumpulan Karangkraf, Nu Ideaktiv, IKIM FM dan Denaihati Network.

Hussamuddin berkata, melalui penglibatan aktif kesemua media di Malaysia pada tahun sebelum ini, program World #QuranHour berjaya mencatatkan 1.46 bilion capaian di media sosial membabitkan 3,000 lokasi berdaftar dalam negara dan 300 lokasi di 76 negara lain.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pelaksanaan World #QuranHour itu juga diharap dapat menggalakkan umat Islam seluruh dunia bersama menghayati al-Quran dalam program yang akan berlangsung selama satu jam itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World #QuranHour yang dirancang diadakan secara tertutup di Masjid Tuanku Mizan Zainla Abidin, Putrajaya akan disiarkan secara langsung di Astro Oasis dan TV Alhijrah.

Marhaini berharap program yang akan diadakan secara serentak pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang itu akan turut disiarkan di di stesen TV lain seperti RTM dan Bernama TV.

Menurutnya, WUIF menyasarkan program tersebut akan menarik penyertaan kira-kira 100 juta capaian di kedua-dua platform iaitu TV dan atas talian termasuk sosial media.

Sementara itu, Syamil Fahim yang juga wakil Astro Oasis berkata, selaku penerbit bersama program tersebut, pihaknya terbuka bekerjasama dengan media lain termasuk media digital berkongsi kandungan program tersebut.

“Program ini merupakan sumbangan kepada bangsa pada negara. Jadi kami berharap rakan-rakan media yang lain pada tahun hadapan boleh mengambil iktibar dan contoh bagaimana TV Alhijrah bekerjasama menjayakan program ini,” ujarnya.

Surah al-Mulk jadi panduan dalam kecelaruan pandemik Covid-19

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, pemilihan al-Mulk yang bermaksud kerajaan sebagai surah pilihan bagi World #QuranHour kali ini adalah mengambil kira situasi semasa yang melanda negara dan juga dunia.

“Disebabkan kita melihat kegalauan dalam negara dan di peringkat antarabangsa apabila semua dikejutkan oleh pandemik Covid-19. Jadi kita melihat Surah al-Mulk adalah surah yang boleh menenteramkan masyarakat.

“Kerana ini juga mengingatkan masyarakat bahawa kerajaan yang tidak ada masalah cuma satu sahaja iaitu kerajaan milik ALLAH yang juga merupakan raja kepada segala raja.

“Dengan menekuni surah ini, InsyaALLAH kita dapat kembalikan balik emosi masyarakat dan akhirnya kita baiki diri berbanding dengan menuding kepada pelbagai pihak dalam keadaan pandemik sekarang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, al-Mulk yang merupakan surah ke 67 dalam al-Quran dan dengan 30 ayat itu dapat digunakan bagi membina kerangka fikir dan karakter orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

“Ada tiga motivasi diri yang terdapat di dalamnya iaitu keberkatan hidup, mengingati mati dengan meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerjaan serta menjadi Mukmin yang lebih baik amalannya.

“Menariknya surah al-Mulk apabila ada enam pertanyaan dan ada juga jawapan bagi setiap persoalan tersebut sebagai bukti yang menunjukkan kekuasaan kerajaan ALLAH untuk kita mensyukuri dan kembali pada-Nya.

“Jadi kita berharap ini akan menjadi formula untuk kebangkitan Malaysia dan juga ummah di seluruh dunia,” ujarnya.

Orang ramai termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour di lokasi masing-masing dengan mendaftar di bit.ly/WQH1442H