Yob tak gentar Gergasi Merah

Perak FC hadir ke Stadium MBPJ dengan semangat baharu selepas meraih kemenangan ke atas UiTM FC. - Foto FB Perak FC
Perak FC hadir ke Stadium MBPJ dengan semangat baharu selepas meraih kemenangan ke atas UiTM FC. - Foto FB Perak FC
A
A
A

PENGENDALI Perak FC, Chong Yee Fatt mahu barisan pemainnya menampilkan aksi terbaik apabila membuat perhitungan dengan Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Menurut Yee Fatt, kemenangan 3-2 ketika berdepan UiTM FC di Stadium Perak Rabu lalu diharapkan dapat menyemarakkan semangat skuad The Bos Gaurus itu untuk terus mencatatkan kejayaan berdepan The Red Giants.

“Untuk perlawanan dengan Selangor FC, saya tak harap banyak daripada para pemain... cuma setelah mengharungi tujuh perlawanan, saya mengharapkan komitmen yang berterusan daripada mereka.

“Saya yakin sekiranya mereka mampu meneruskan komitmen sedemikian, kami mungkin boleh merealisasikan hasrat untuk membawa pulang keputusan yang positif kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula bertekad untuk sekali lagi memperagakan aksi terbaik seterusnya mengelak gawangnya dirobek jentera serangan Selangor FC.

“Saya sedar beraksi dengan pasukan seperti Selangor FC bukannya mudah, tetapi bagi saya bukan hanya setakat Ifedayo (Olusegun) dan Eky (Shahrel Fikri) yang perlu saya awasi, tetapi kesemua pemain Selangor FC.

“Jadi saya berharap rakan-rakan sepasukan terutamanya di barisan pertahanan lebih berwaspada dengan serangan Selangor FC nanti. Kami akan cuba ikut taktikal yang dirancang coach (Yee Fat)," ujarnya.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan setakat ini, Perak FC dan Selangor FC berkongsi lapan mata apabila merekodkan dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Selangor FC berada satu anak tangga di atas Perak FC apabila menduduki tangga ketujuh selepas kedua-dua pasukan dibezakan dengan jumlah jaringan gol.