Lelaki maut langgar pokok ketika lari dari polis

Kereta Proton Waja yang dipandu mangsa remuk di bahagian depan selepas melanggar dua batang pokok di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Merlimau-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang awal pagi Ahad.
Kereta Proton Waja yang dipandu mangsa remuk di bahagian depan selepas melanggar dua batang pokok di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Merlimau-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang awal pagi Ahad.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar dua batang pokok ketika cuba melarikan diri daripada polis di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Merlimau-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan pemandu kereta itu ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di Lebuh AMJ Tanjung Minyak di sini kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun menurutnya, pemandu terbabit tidak mengendahkan arahan anggota polis dan terus memecut kenderaan dan turut melakukan kesalahan melanggar beberapa lampu isyarat merah di sepanjang Lebuh AMJ bermula dari persimpangan Lee Rubber hingga Lebuh AMJ Semabok-Duyong.

"Tindakan pemandu kereta itu telah membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain sebelum memecut laju menghala ke arah Muar.

"Namun sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar dua batang pokok," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Lokasi kejadian di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Merlimau-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang.
Lokasi kejadian di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Merlimau-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan dan Unit Anjing Pengesan (K9) juga dihantar ke tempat kejadian bagi mengesan barang yang dibuang keluar dari kenderaan oleh mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Unit forensik juga masih menjalankan siasatan pada kenderaan terlibat bagi mengesan waris mangsa.

"Diminta sesiapa yang mengenali mangsa atau ada maklumat berkaitan mangsa dapat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nitheish di talian 01121633214 untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.