X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Padah raba punggung

Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita pada Khamis minggu lalu.
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita pada Khamis minggu lalu.

Tertuduh, Amran Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli sejurus jurubahasa selesai membaca semua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan dengan menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Lorong Limau Manis Jalan Hamzah pada jam 9.40 pagi, 25 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Berdasarkan fakta kes, Amran menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanya sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.

Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu.

Selepas itu, Amran datang menyekat wanita berkenaan dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Sementara itu, Siti Edabayu meminta agar mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes yang sama sebelum ini.

“Tertuduh telah melakukan kesalahan berat kerana telah mencabul kehormatan mangsa.

"Justeru, hukuman yang setimpal dikenakan juga mengambil kira aspek kepentingan awam,” katanya.

Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum kerana tertuduh merupakan satu-satunya individu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah uzur.

“Tertuduh telah menerima hukuman dan kecaman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial.

"Ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama setahun.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita dalam kejadian di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah di sini minggu lalu.

Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), polis mendapati suspek yang menunggang motosikal jenis Honda C90 berwarna coklat telah menyentuh bahagian punggung wanita itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang