Pengurus skuad sepak takraw negara digantung lima tahun

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (Astaf) menggantung pengurus pasukan sepak takraw wanita kebangsaan, Wan Mohd Husni Abdullah selama lima tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan atas kesalahan disiplin.

Astaf telah mengarahkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Wan Mohd Husni dengan melucutkan semua jawatan dipegang beliau dalam PSM termasuk sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan berkuat kuasa 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.

PSM juga diarahkan menghantar salinan surat rasmi tersebut kepada Astaf sebagai bukti tindakan telah diambil selain memberi amaran bakal dikenakan hukuman jika mendapati Wan Mohd Husni gagal mematuhi hukuman dikenakan.

“Astaf ingin menegaskan dalam tempoh penggantungan tersebut sekiranya Wan Mohd Husni masih melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti sepak takraw maka pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas PSM kerana gagal mengawal beliau untuk mematuhi tindakan pihak Astaf.

“Secara jelasnya kesalahan yang dicetuskan beliau (Wan Mohd Husni) adalah sangat serius dan juga termaktub dalam Perlembagaan PSM Fasal 34 dan Fasal 40,” kata Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam surat kepada PSM pada Rabu.

Wan Mohd Husni sebelum ini digantung tugas sementara oleh Astaf atas kesalahan disiplin gara-gara berkelakuan agresif ketika membantah keputusan pengadil pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Beliau didakwa meluru ke arah pengadil Roy Fabay dan melontarkan perkataan tidak sopan semasa aksi final regu lelaki membabitkan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Astaf berharap PSM dapat mengambil tindakan segera untuk memastikan sebarang ketetapan yang telah digariskan berkaitan tindakan salah laku dapat dipatuhi dengan sebaiknya sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan kepada pasukan sepak takraw wanita kebangsaan menjelang edisi ke-31 temasya dwi tahunan itu di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember depan. - Bernama