X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Nelayan dikhuatiri hilang ketika menangkap ikan

Operasi mencari nelayan yang hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam laut kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan, Yan pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Rizal
A
A

ALOR SETAR - Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan, Yan pada Jumaat.

Ketika kejadian, mangsa, Mohd Rizal Ismail, 34, bersama dua rakannya keluar menangkap ikan sebelum disedari tiada di atas bot pada jam 11 malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan mengenai kejadian itu daripada tekong bot, Hee Leen Chai pada jam 7.50 pagi Sabtu.

Menurutnya, susulan itu pihaknya mengaktifkan Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mencari mangsa.

"Berdasarkan makluman, mangsa yang merupakan warga tempatan dilaporkan keluar ke laut bersama dua lagi rakan dengan menaiki sebuah bot pukat tunda.

"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju putih dan berseluar hitam, dipercayai tidak memakai jaket keselamatan serta mempunyai sejarah penyakit sawan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Operasi Carilamat itu melibatkan aset laut Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa bot nelayan tempatan.

"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga ditubuhkan di Singkir Laut, Yan bagi memudahkan operasi.

"Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa dan operasi masih diteruskan," katanya.

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!