Tiga loji baharu selesai masalah air di Terengganu

Dr Mamad (tengah) ketika meninjau Loji Rawatan Air Pulau Bahagia yang telah siap dibina dan akan beroperasi dalam tempoh terdekat.
Dr Mamad (tengah) ketika meninjau Loji Rawatan Air Pulau Bahagia yang telah siap dibina dan akan beroperasi dalam tempoh terdekat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gangguan bekalan air yang dialami penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dijangka pulih selepas tiga loji rawatan air (LRA) baharu di Terengganu beroperasi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, tiga loji berkenaan mampu mengeluarkan 100 juta liter padu (MLD) air meliputi 100,000 kediaman dalam tempoh sehari menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, LRA Pulau Bahagia telah siap dan boleh beroperasi dalam tempoh terdekat dengan kapasiti 20 MLD yang mampu menampung keperluan lebih 20,000 rumah sekitar Manir dan Telemong.

"LRA Pulau Bahagia dijangka beroperasi sehari dua lagi, manakala LRA Bukit Berapit di Kuala Nerus yang boleh mengeluarkan kapasiti air sebanyak 120 MLD akan disiapkan separuh dahulu iaitu 60 MLD sebelum perayaan Aidilfitri.

"Bagi LRA baharu di Losong pula, kita juga akan cuba siapkan separuh dahulu iaitu 20 MLD daripada keseluruhan 40 MLD kapasiti pengeluaran air supaya tiada berlaku gangguan bekalan air pada musim perayaan nanti," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Pulau Bahagia di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ir Atemin Sulong.

Sementara itu, Atemin berkata, tiga lagi LRA sedia ada iaitu Kepong 1, Kepong 2 dan Losong turut menjalani proses naik taraf yang dijangka siap sekitar Ogos nanti serta turut menaik taraf muka sauk di Serada dan muka sauk di Pulau Musang.

"Pihak SATU turut memasang beberapa pam penggalak untuk memastikan keperluan air di kawasan terjejas dapat diselesaikan segera sementara tiga LRA baharu itu beroperasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebanyakan punca gangguan bekalan air berlaku ekoran kelewatan pembinaan tiga LRA baharu yang sepatutnya bermula pada tahun 2007.

"Selain kelewatan pembinaan, kita juga alami beberapa masalah lain di mana 30 peratus daripada paip yang digunakan adalah paip-paip lama yang digunakan sejak sebelum merdeka," katanya.

Masalah gangguan bekalan air dialami penduduk di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Marang hangat diperkatakan di media sosial.

Masalah itu ketara berlaku awal Mac lalu apabila sebanyak 40,200 akaun terjejas akibat masalah teknikal yang berlaku di Loji Kepong 1, Serada.