X

Kindly register in order to view this article
!

Penganggur tak mengaku rogol remaja hingga lahirkan anak

Mohamad Adli Mohamed Kamil, 19, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan tahun lalu.
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan hingga mengandung dan melahirkan anak.

Tertuduh, Mohamad Adli Mohamed Kamil, 19, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah bilik di Kampung Tanjung, Pasir Tumboh di sini pada jam 11 malam, Mac tahun lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Sharifah Amirda Shasha tidak mencadangkan jaminan, bagaimanapun tertuduh merayu dan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 April depan.

Difahamkan, mangsa sudah melahirkan bayi perempuan pada awal Januari lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium