UniMAP lancar nombor plat khas

Tuanku Syed Faizuddin (empat dari kiri) bersama tetamu kehormat bergambar bersama kereta yang menggunakan nombor plat UR 1 pada Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas UniMAP, di Arau pada Rabu.
Tuanku Syed Faizuddin (empat dari kiri) bersama tetamu kehormat bergambar bersama kereta yang menggunakan nombor plat UR 1 pada Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas UniMAP, di Arau pada Rabu.
A
A
A

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan nombor plat khas kenderaan.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, ia merupakan sesuatu yang unik apabila universiti berkenaan memilih untuk melancarkan siri nombor pendaftaran UR.

Katanya, kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang merupakan awalan perkataan UniMAP manakala R merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Perlis.

"UR juga mewakili kod program pengajian UniMAP di UPU Online dan pelajar yang mengakses permohonan dalam talian itu akan dapat melihat kod UR di dalam borang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas UniMAP, di sini pada Rabu.

Menurutnya, UR dan UniMAP serta Perlis adalah sinonim dan pasti akan menjadi aspek yang akan mengimbau kenangan alumni mahupun pelajar sedia ada malah ia juga sesuai dimiliki oleh orang awam kerana bersifat universal.

"Penjualan ini bermula susulan hasrat dan inisiatif kerajaan menerusi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri.

"Inisiatif ini juga membantu menguruskan pengoperasian universiti dengan lebih berkesan dan pada masa sama menjaga kebajikan pelajar yang merupakan pemegang taruh utama universiti," katanya.

R Badlishah berkata, beliau menyasarkan penjualan nombor yang bermula UR1 hingga UR9999 itu bakal mencecah RM10 juta dan penjualannya dikendalikan oleh syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Aquatwo Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat Aquatwo bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan/bidaan nombor plat khas ini.

“Bagi sesiapa yang berminat bolehlah melayari laman web www.urplat.com bagi mengikuti perkembangan untuk membida nombor pendaftaran UR ini,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Aquatwo Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara syarikat tersebut dengan UniMAP dan UniMAP Holdings Sdn Bhd selepas berakhirnya majlis itu.

Turut berkenan berangkat hadir adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Datuk Azwane Raja Ariff; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah; Pengerusi UniMAP Holdings Sdn Bhd,Dato’ Ghazali Mat Arif; dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquatwo Sdn Bhd, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin.