Warga emas ingkar PKP ugut bunuh, tendang polis

NIK EZANEE
NIK EZANEE
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah restoran di Taman Sri Manja, di sini pada Rabu, bertindak agresif apabila mengugut dan menendang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki itu dikesan berkumpul bersama beberapa individu lain di satu meja restoran berkenaan kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, apabila anggota polis mendekati meja tersebut untuk teguran, kesemua mereka telah melarikan diri kecuali suspek.

"Suspek warga tempatan berusia 62 tahun itu bertindak menghampiri anggota polis sebelum mengugut dan mahu membunuh salah seorang anggota berkenaan.

"Suspek enggan bekerjasama sebelum menendang salah seorang anggota semasa proses tangkapan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiba di Balai Polis Petaling Jaya, suspek sekali lagi mengeluarkan kata-kata kesat.

Katanya, suspek kini telah ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

"Suspek juga telah dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana ingkar SOP PKP," katanya.

Artikel Berkaitan: