X

Kindly register in order to view this article
!

Empat dron Houthi serang pesawat Arab Saudi

Gambar menunjukkan sebuah pesawat penumpang mengalami kesan hitam akibat serangan dron di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha, Arab Saudi pada Rabu. - Foto AFP
A
A

RIYADH - Satu serangan dron yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak Houthi pada Rabu lalu menyebabkan sebuah pesawat awam terbakar di sebuah lapangan terbang dekat Abha, Arab Saudi.

Serangan itu turut mendapat kritikan rakan sekutu Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa Arab Saudi tidak melaporkan sebarang kematian atau kecederaan manakala kumpulan Houthi mengaku melakukan serangan menggunakan empat buah dron selepas AS bertindak mengeluarkan kumpulan berkenaan dalam senarai pengganas.

Gambar-gambar daripada media kerajaan menunjukkan terdapat kesan hitam pada badan sebuah pesawat penumpang setelah serangan tersebut yang terjadi pada hari yang sama Utusan Khas AS, Timothy Lenderking menemui Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan di Riyadh untuk mengadakan perbincangan.

Washington mengutuk serangan tersebut dan mendesak kumpulan Houthi terlibat secara konstruktif dalam rundingan keamanan yang dimulakan oleh Presiden AS, Joe Biden.

"Tidak ada penyelesaikan secara ketenteraan di dalam perang di Yemen. Kami sekali lagi menyeru Houthi untuk menghentikan dengan segera serangan agresif ini," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price kepada pemberita di Washington seperti dilaporkan oleh AFP.

Akhbar-akhbar media kerajaan turut menyiarkan imej-imej serpihan sebuah dron yang menunjukkan komponen enjinnya berselerakan di atas landasan di lapangan terbang tersebut.

"Satu serangan pengecut pengganas dilancarkan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di Arab Saudi oleh militan Houthi," lapor stesen televisyen Al-Ekhbariya yang memetik kenyataan perikatan tentera Riyadh yang berjuang menentang kumpulan pemberontak tersebut.

"Satu kebakaran yang berlaku ke atas sebuah pesawat penumpang ekoran serangan Houthi di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dapat dikawal," tambah kenyataan daripada perikatan tentera berkenaan.

Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi itu tidak menyatakan bagaimana serangan berlaku tetapi ia berjaya memintas dua buah dron yang dijadikan perangkap bom sebelum kejadian tersebut berlaku di selatan negara tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!