Presma yakin peniagaan kembali pulih selepas ini

JAWAHAR ALI
JAWAHAR ALI
A
A
A

SHAH ALAM- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yakin perniagaan kedai makan akan berjalan lancar dan pendapatan peniaga kembali pulih selepas makan di restoran dibenarkan.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, Presma akan menasihatkan lebih 4,200 ahlinya untuk menempatkan seorang pekerja bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di restoran khususnya pada waktu puncak.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan pematuhan SOP dengan sebaiknya susulan kebenaran beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sudah pasti ia berita gembira kepada semua ahli Presma dan usahawan runcit selepas pendapatan mereka terjejas kerana tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Presma akan memastikan supaya ahli menggunakan peluang ini dengan baik dan mematuhi SOP ditetapkan seperti hanya dua orang dibenarkan berada di satu meja, penjarakan satu meter serta jumlah pelanggan yang dihadkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, MKN bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula Rabu dengan SOP yang ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang dikeluarkan agar penularan Covid-19 dapat dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, PPMM berharap masyarakat tidak alpa dengan kelonggaran diberikan dan tidak mengambil kesempatan dengan ingkar SOP terutama apabila berada di restoran atau pun membeli barangan keperluan.

“Pengguna juga memainkan peranan untuk memastikan tiada lagi jangkitan di dalam komuniti untuk menjamin aktiviti yang dapat dijalankan pada waktu ini berterusan,” katanya.