Kes kereta terjunam dalam tasik masih diklasifikasi bawah APJ 1987

Dua maut selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Tasik Biru di Kampung Setia, Batu Arang, pada Ahad.
Dua maut selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Tasik Biru di Kampung Setia, Batu Arang, pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kes seorang lelaki dan wanita yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Biru di Jalan Kampung Setia, Batu Arang masih diklasifikasikan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan.

"Setakat ini kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

"Kita fokus siasatan mengikut akta itu terlebih dahulu sama ada terdapat unsur kecuaian, tertidur dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan polis juga mendapati hubungan kedua-dua mangsa itu adalah rakan.

Katanya, mangsa lelaki adalah pesara awal polis atas faktor kesihatan.

Dalam kejadian pada Ahad, mangsa pertama yang juga pemandu dikenal pasti sebagai Muhammad Faizal Abu Hassan, 43, beralamat di Pangsapuri Sri Anggerik 1, Bandar Puchong Jaya, Puchong manakala mangsa kedua dikenal pasti sebagai Chong Kha Mun, 35, beralamat di pangsapuri sama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.10 petang

Artikel Berkaitan:

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu mangsa dari arah Kuang hilang kawalan.

Difahamkan mayat kedua-dua mangsa ditemui selepas dua jam operasi dan menyelamat (SAR) di lokasi berkenaan.