X

Kindly register in order to view this article
!

Suami, isteri ditahan kes dera anak angkat

Sepasang suami isteri ditahan pihak polis susulan kes dera anak angkat berusia setahun dua bulan. Gambar hiasan.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Sepasang suami isteri ditahan pihak polis susulan kes dera anak angkat berusia setahun dua bulan di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, pasangan tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes dera melibatkan kanak-kanak tersebut pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan dipercayai mengalami beberapa kecederaan anggota badan iaitu di muka,dahi, tangan dan bengkak paha kanan.

"Pada awalnya, kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga angkatnya itu pada Ogos tahun lalu oleh ibu kandungnya tapi diserahkan kembali kepada ibu kandungnya pada bulan November.

"Bagaimanapun ibu kandungnya yang tinggal Besut, Terengganu itu menyedari terdapat kesan parut pada tubuh anaknya sebelum membawa mangsa ke sebuah Klinik Kesihatan di daerah Besut.

"Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dipercayai mempunyai kesan dera," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Pasangan tersebut ditahan reman selama seminggu bermula Isnin hingga Ahad minggu depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret Kota Bharu, Nor Faizah Abdullah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!