Penghargaan buat Abdul Bari

Hiba, Masitah (dua, kiri) berpelukan dengan ahli keluarga yang hadir ke Bilik Forensik HSNZ pagi tadi.
Hiba, Masitah (dua, kiri) berpelukan dengan ahli keluarga yang hadir ke Bilik Forensik HSNZ pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan memberi penghargaan kepada Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang menyelamatkan lima sekeluarga hingga mengorbankan nyawanya dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara sungai, malam kelmarin.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anugerah itu sebagai penghargaan di atas keberanian dan sifat terpuji Allahyarham.

Menurutnya, pemberian penghargaan itu akan diusulkan dalam mesyuarat mingguan Exco Rabu ini termasuk menentukan bentuk anugerah berkenaan.

"Almarhum melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bukan seorang, tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

"Saya sendiri akan usulkan dalam mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk diberikan anugerah khas atas kejayaan dan sifat terpuji yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarah jenazah dan keluarga Allahyarham Abdul Bari Asyraf di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga mungkin turut memberi penghargaan kepada lima lagi pemuda yang turut terjun ke sungai berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

"Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat termasuk bomba, polis, lain-lain agensi dan semua terbabit yang tungkus lumus melakukan usaha mencari sehingga mangsa ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 9.40 malam kelmarin, Abdul Bari Asyraf cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang nyaris lemas selepas Mitsubishi Storm dinaiki terjunam ke muara Sungai Terengganu.

Almarhum dikatakan sempat membantu menyelamatkan dua mangsa daripada lemas sebelum beliau hilang dari permukaan sungai.