'Semua pemain setia bersama Singa Utara'

Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie
Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Perlis (PFA) menepis dakwaan kononnya pemainnya bakal angkat kaki menyertai pasukan lain, sebaliknya menegaskan kesemua 30 pemain tetap bersatu hati di bawah naungan skuad Singa Utara itu, kata Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Beliau berkata pada masa ini pasukan berada dalam keadaan harmoni dan segala isu tunggakan gaji kepada pemain akan diselesaikan secepat mungkin.

"Setakat ini tiada mana-mana pemain yang menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pasukan kami dan keadaan pasukan sangat harmoni.

"30 pemain kami bersatu hati bersama pasukan dan kami nak buat yang terbaik untuk Perlis," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Premier antara UiTM FC dan Perlis di Stadium UiTM di sini malam kelmarin.

Beliau mengulas laporan media yang mengatakan pasukan Perlis berada dalam keadaan tidak menentu selepas status kewangan mereka semakin meruncing sehingga gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

Ditanya sama ada pasukan Perlis akan membuat aduan kepada Malaysian Football League (MFL) berikutan gambar tular kononnya terdapat cubaan pasukan luar memancing pasukan Perlis, Ahmad Amizal berkata pihaknya menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap pemainnya.

Beliau juga meminta media berhenti membuat spekulasi mengenai kemelut yang dihadapi pasukan Perlis yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya memberikan ruang secukupnya untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

Mengenai prestasi pasukan Perlis yang membenam tuan rumah UiTM FC 3-0 pada perlawanan itu, Ahmad Amizal berkata, pihaknya berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang meraih kemenangan pertama dalam aksi itu meskipun tidak meletakkan sebarang tekanan berikutan masalah yang dihadapi pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan tersebut, pemain sayap sensasi, Mohd Khyril Muhymeen Zambri meledak dua gol pada minit ke-31 dan 37 sebelum pemain import, Kevin Osei melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol ketiga pada penghujung babak kedua.

Terdahulu, Mohd Khyril dalam sidang media sejurus selepas perlawanan itu mengakui pihaknya mengalami tekanan berikutan masalah tunggakan gaji yang dihadapinya, namun percaya dengan kemampuan pengurusan PFA untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya harap pihak pengurusan boleh mencari insentif untuk menaja pasukan untuk kekalkan pemain pasukan (sedia ada) dalam Liga Perdana," katanya. - Bernama