X

Kindly register in order to view this article
!

Empat beradik ditahan, bawa pulang jasad bapa berstatus PUI

Gambar kecil: Rohan Shah Ahmad
A
A

LAHAD DATU - Tindakan empat beradik enggan meninggalkan jasad bapa mereka yang berstatus Pesakit Bawah Siasatan (PUI) di hospital membawa padah apabila ditahan di Kampung Panji, di sini, pada Khamis.

Kejadian itu difahamkan berlaku selepas seorang lelaki berusia 58 tahun dikejarkan ke Hospital Lahad Datu kerana tidak sedarkan diri pada jam 8.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu yang juga pembantu perubatan di hospital terbabit.

"Pesakit telah diasingkan ke khemah zon PUI berhadapan wad kecemasan Hospital Lahad Datu kerana mempunyai sejarah rawatan sebagai pesakit strok di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan, sebelum ini.

"Ketika berada di Zon PUI, pesakit telah diberi pertolongan cemas pernafasan selama kira-kira 30 minit oleh pegawai perubatan namun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rohan berkata, petugas perubatan telah menerangkan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah Covid-19 kepada waris dan keperluan ujian saringan Covid-19 bagi mengelak sebarang risiko jangkitan memandangkan mayat lelaki itu berstatus PUI.

"Selain itu, mayat perlu disimpan di bilik mayat sehingga keputusan ujian Covid-19 diterima.

"Setelah diberi penerangan, waris enggan meninggalkan jasad di hospital dan bertindak menolak pengusung jenazah untuk keluar dari khemah zon PUI lalu membawa pulang jenazah ke kediaman dengan bantuan ahli keluarga yang lain," katanya.

Ekoran kejadian itu, sepasukan polis bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Panji.

"Dalam serbuan itu, pihak polis telah menahan seramai empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 26 hingga 31 tahun yang juga anak kepada lelaki yang meninggal dunia itu.

"Semua tangkapan direman selama tiga hari dan seramai tiga pegawai perubatan turut dirakam percakapan untuk tujuan siasatan," katanya.

Rohan berkata, motif kejadian, suspek bertindak membawa lari atau mengalihkan mayat yang dalam simpanan hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan jahat yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit yang berbahaya.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau dipenjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis juga turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah yang dikeluarkan mana-mana pegawai yang diberi kuasa dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tidak lebih dua tahun atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!