Ops Covid-19: 1,200 anggota JPJ bantu PDRM

Kerjasama itu akan memberi keutamaan khusus membabitkan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya. - Gambar hiasan
Kerjasama itu akan memberi keutamaan khusus membabitkan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 1,200 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara akan diatur gerak bermula hari ini sehingga 26 Januari depan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

JPJ menerusi kenyataan memaklumkan, Ops Covid-19 akan menyasarkan kepada pematuhan aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia turut menyasarkan kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu turut menyebut kerjasama itu akan memberi keutamaan khusus membabitkan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya.

"Ia akan dilaksanakan melalui tiga strategi antaranya rondaan jalan utama negeri dan lebuh raya, sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam dan pemeriksaan dan pemantauan di terminal bas utama (TBS)," katanya.

Menurutnya, langkah atau pendekatan bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak ini yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat.

Justeru, JPJ berharap orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya dalam di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP.

Artikel Berkaitan: