X

Kindly register in order to view this article
!

Pelakon drama pendek YouTube didakwa buat laporan palsu dirogol

Nor Hafizah (tengah) yang berdepan dengan dua pertuduhan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Kota Bharu pada Khamis.
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelakon drama pendek di YouTube didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan iaitu pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki.

Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin, 31, juga didakwa membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol yang berlaku terhadapnya pada Disember lalu.

Bagaimanapun, Nor Hafizah membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan akan suatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu telah merogolnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa jam 3 petang pada 19 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, Nor Hafizah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memberikan maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia telah dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kaunter Balai Polis Kubang Kerian lebih kurang jam 12.08 malam pada 20 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, Nor Hafiza didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Riduan bagaimanapun dalam rayuannya meminta ikat jamin yang minimum kerana anak guamnya merupakan seorang suri rumah selain perlu menjaga empat orang anak berusia 10, lapan, tiga dan dua tahun.

“Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan. Situasi ini amat membebankan anak guam saya lebih-lebih lagi berdepan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam rayuan itu, Riduan turut memaklumkan bahawa itu merupakan kes pertama yang dihadapi anak guamnya.

“Saya memohon satu ikat jamin yang rendah untuk memastikan anak guam hadir pada prosiding perbicaraan selepas ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,000 untuk pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh difahamkan membayar ikat jamin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!