Rundingan kerusi MN capai konsensus lebih 50 peratus

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti gabungan Muafakat Nasional (MN) sudah mencapai konsensus melebihi 50 peratus setakat ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan masih berjalan bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU15 antara rakan gabungan.

Menurutnya, persefahaman agihan kerusi itu dicapai menerusi enam formula yang dipersetujui bersama dalam memastikan hanya berlaku pertandingan dua penjuru.

“Rundingan sudah dilakukan beberapa kali. Sebahagian kerusi masih dalam perundingan dengan semangat setiakawan.

"Saya percaya kemelut politik di peringkat Pusat yang berlaku sekarang tidak menjejaskan hasrat kita untuk pastikan tidak berlaku tiga penjuru dalam MN,” katanya pada siang akhbar selepas majlis perhimpunan pagi bersama penjawat awam Kedah dan pelancaran kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Muhamad Sanusi berkata demikian ketika mengulas pergolakan dalaman membabitkan rakan gabungan parti itu iaitu antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain krisis dalaman UMNO yang memungkinkan rundingan agihan kerusi PRU15 semakin sukar.

Sementara itu, beliau berkata, MN berpegang kepada formula yang dipersetujui itu dalam menentukan pemilikan kerusi bertanding bagi parti-parti gabungannya.

“Pergolakan akan pulih dalam masa terdekat. Ia ibarat ‘ribut dalam cawan’ saja. Yang penting untuk pastikan kemenangan, hanya berlaku dua penjuru sama ada MN campur Perikatan Nasional (PN), atau PN campur MN bagi melawan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Menurutnya, setakat ini tidak berlaku konflik dalam perundingan kerusi sebaliknya setiap parti mengamalkan sikap bertolak ansur.

Artikel Berkaitan:

“Pertimbangan akan diberikan dalam setiap rundingan tanpa ada kekerasan, paksaan mahupun sabotaj. Saya harap tak berlaku semua itu selepas diputuskan oleh pimpinan tertinggi.

"Kalau Pas menang di kerusi itu, kita letak calon bertanding. Kalau ada pemenang kedua tertinggi mungkin parti tertentu boleh minta kerusi itu. Boleh berunding, bukan sukar sangat,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah bahawa mana-mana kerusi dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain kembali diserahkan kepada UMNO, Muhammad Sanusi senada dengan pandangan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kerusi lompat wajar dirundingkan semula.

“Kerusi dimenangi UMNO, parti itu boleh bertanding. Pas tak akan letak calon di situ, itu disiplin kami. Parti lain pun harus miliki disiplin seperti itu. Kalau kalah jangan pula desak nak letak calon. Bagi kerusi lompat, perlu ada rundingan khas,” katanya.

Ditanya sama ada calon lompat perlu diberikan peluang kedua bertanding semula mewakili MN, beliau berkata, ia terpulang kepada parti masing-masing untuk memutuskan perkara tersebut.

Muhammad Sanusi dalam pada itu sekali lagi mengulangi pendirian tidak berhasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Saya tetap dengan pendirian tidak bubarkan DUN. Seeloknya tunggu tempoh masa sehingga lima tahun, masih berbaki dua tahun lebih lagi. Namun kita bersedia adakan pilihan raya peringkat Parlimen pada bila-bila masa. Beberapa negeri lain turut umum pendirian sama sebelum ini,” katanya.

Katanya, terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan masa sesuai diadakan PRU15 yang memiliki kuasa pemutus.