X

Kindly register in order to view this article
!

Jambatan Batang Lupar dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025

Abang Johari ketika merasmikan majlis pecah tanah 'Sports/ Community Hall with Innovative Hub' di Batu Kawa, Kuching pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Projek pembinaan jalan pesisir Sarawak sepanjang 896 kilometer (km) termasuk pembinaan jambatan Batang Lupar yang membabitkan kos kira-kira RM5 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setelah siap kelak jambatan Batang Lupar akan menjadi antara terpanjang di Malaysia merentasi sungai dengan panjang kira-kira tujuh kilometer dari Triso di Meludam ke Sebuyau.

‘’Pembinaan ini turut melibatkan projek pembinaan jambatan Batang Lupar, berdasarkan perjanjian (dengan kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini), peruntukan kos pembinaan adalah 50-50 (separuh ditanggung kerajaan Persekutuan dan separuh lagi kerajaan negeri), namun setelah pertukaran kerajaan...kita (kerajaan negeri) tetap meneruskan dengan (menggunakan) peruntukan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Sport and Community Hall with Innovative Hub di Batu Kawa, di sini pada Selasa.

Abang Johari berkata, projek pembinaan jalan pesisir itu adalah idea daripada Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan telah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14).

Katanya, setelah siap kelak, projek jalan pesisir itu tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri serta bebas tol.

Projek pembinaan jalan pesisir turut melibatkan pembinaan tujuh jambatan, antaranya jambatan Kuala Kemena Batang Saribas, Sungai Krian dan Batang Paloh yang akan menghubungkan wilayah selatan dan utara negeri ini, khususnya di kawasan pesisir Sarawak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!