Dr Mahathir dakwa PH tidak akan dapat sokongan jika enggan bekerjasama

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak akan meraih sokongan orang Melayu pada pilihan raya akan datang sekiranya gabungan itu enggan bekerjasama dengan beliau.

Menurutnya, penglibatannya ketika berada bersama PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membantu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu.

“Saya telah membantu pembangkang untuk menang (pada PRU14) kerana saya telah bawa sokongan orang Melayu.

“DAP yang tidak pernah memperoleh lebih daripada 18 kerusi, mendapat 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang saya bawa,” katanya menurut laporan Malaysiakini yang memetik China Press.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir wajib mematuhi prinsip perjuangan dikemukakan PH sekiranya ingin menyertai gabungan itu membentuk gabungan besar parti pembangkang.

Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada gabungan itu untuk mengundang sesiapa sahaja bagi menjayakan usaha pembentukan gabungan besar parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau ingin bekerjasama dengan Anwar tetapi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah menolak cadangan terbabit.

“Apa yang telah saya lakukan kepadanya? Saya telah membebaskannya (dari penjara) dan saya belum sampai masa untuk mengundurkan diri. Tapi saya undurkan diri lebih awal.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak menghalangnya, saya mahu bekerja dengannya, saya katakan kepadanya, baiklah, jika kamu tidak suka saya, berilah saya enam bulan (lagi) kerana jika kamu tidak mempunyai sokongan orang Melayu, pembangkang tidak boleh menang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Anwar perlu memastikan dirinya mempunyai sokongan untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

“Tetapi lihat rekodnya, berapa kali dia mendakwa mendapat sokongan (majoriti)? Sebaliknya dia tidak mendapat sokongan,” katanya.

Menerusi laporan itu juga, Dr Mahathir mendakwa ramai penyokong tegar Anwar meminta dirinya untuk tidak membiarkan Ahli Parlimen Port Dickson itu mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Oleh itu, saya memutuskan, sekiranya (kita) tidak mahu Anwar mengambil alih, maka biar Dewan Rakyat tentukannya,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PH memenangi PRU14 tetapi ianya tidak berkekalan apabila kerajaan itu tumbang selepas 22 bulan mentadbir.

Dalam laporan itu, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai sokongan yang diperoleh oleh Anwar.

“Ketika Anwar mengatakan dia mendapat sokongan, dia menjelaskan yang dia akan mengecualikan saya. Sekiranya dia mempunyai sokongan, maka buktikan, tetapi dia tidak memilikinya.

“Mereka (ahli Parlimen kerajaan) berjanji untuk menyokong Anwar mungkin kerana janji-janji yang dibuat olehnya. Tetapi mereka yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan faham bahawa dengan menggulingkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka juga perlu mengundurkan diri dan masa depan mereka akan menjadi tidak menentu,” katanya.

Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Katanya, majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.