X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO tawar diri bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

Mohd Yusof Ismail
A
A

ALOR SETAR - UMNO menawarkan diri untuk dicalonkan bertanding di Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ini kerana pada PRU13 dan PRU14, kerusi Parlimen Alor Setar yang ditandingi MCA mengalami kekalahan teruk.

Menurutnya, selain kemerosotan sokongan pengundi Cina dan India terhadap calon MCA, pengundi Melayu juga telah mengalih sokongan kepada calon Melayu dan ia boleh dilihat pada pola pengundian PRU13 dan PRU14.

"Sejak PRU1 hingga PRU14 kerusi Parlimen Alor Setar ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dari MCA. Cadangan ini bukan untuk menafikan peranan MCA dalam BN tetapi sebagai peluang untuk kita rampas kembali Parlimen Alor Setar daripada Pakatan Harapan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Yusof berkata, antara sebab kerusi berkenaan dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah kerana pengundi Cina dan India tidak lagi memberi sokongan kepada calon MCA.

"Jika dilihat kepada peratusan komposisi pengundi mengikut kaum, Melayu sebanyak 64 peratus, Cina (23), India (7) dan lain-lain sebanyak enam peratus.

"Justeru, calon UMNO dilihat memiliki peluang lebih cerah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof mengharapkan semua pihak harus berlapang dada bagi membolehkan BN memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!