Heboh pokok nangka berbuah dalam rumah

Paparan TikTok @ardiners1 tular dan ditonton lebih 200,000 tontonan dari netizen sehingga Rabu. - Foto Tribun News
Paparan TikTok @ardiners1 tular dan ditonton lebih 200,000 tontonan dari netizen sehingga Rabu. - Foto Tribun News
A
A
A

PARINGIN - Heboh di laman sosial, sebatang pokok nangka tumbuh dan berbuah di dalam sebuah rumah di bandar Paringin, Wilayah Kalimantan Selatan, Indoensia.

Rakaman video dimuat naik di aplikasi TikTok @ardiners1 telah ditonton lebih 200,000 tontonan dari netizen sehingga Rabu.

Menerusi laporan Tribun News, penghuni rumah dikenali Ardiansyah, 19, memberitahu, tapak rumah bapanya itu sebelum ini adalah kebun buah-buahan dipenuhi pelbagai jenis tanaman seperti cempedak, nangka dan mangga.

"Lima tahun lalu, tanah ini dipenuhi pelbagai tanaman. Jadi, ayah memutuskan untuk tidak menebang pokok tersebut.

"Ini kerana ayah seorang pencinta tanaman. Sehingga kini, pokok-pokok ini tumbuh dengan segar bahkan kerap berbuah," katanya.

Jelasnya, selain pokok nangka, dalam rumahnya itu terdapat beberapa pokok lain seperti pokok mangga yang tumbuh di bilik utama manakala pokok cempedak membesar di bilik kedua.

Ardiansyah mengakui, pokok nangka berkenaan yang tumbuh di ruang tamu telah menembusi sehingga ke tingkat dua rumah.

"Setiap pokok pastinya mahukan cahaya mencukupi, tetapi pada masa sama, pokok-pokok ini tidak merosakkan struktur lantai rumah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun sehingga kini pohon itu tidak meninggi, mungkin kerana sudah tua," katanya.

Ketika ditanya respon setelah video TikTok miliknya tular, dia mengakui gembira kerana berkongsi kisah keunikan rumah bapanya.

"Saya tidak jangka video ini tular kerana ia sekadar suka-suka sahaja, tetapi bila ramai menonton, saya teruja kerana tidak ramai memiliki rumah yang ditumbuhi pokok di dalamnya.

"Ramai juga yang datang melihat sendiri keunikan ini dan mempersoalkan bagaimana ia boleh berlaku," katanya.