Bob Lokman masih mampu buat lawak

Bob Lokman ketika ditemui di rumahnya di Demit, Kubang Kerian Kota Bharu hari ini.
Bob Lokman ketika ditemui di rumahnya di Demit, Kubang Kerian Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun baru sahaja menjalani pembedahan minggu lalu, namun pelakon dan pelawak Bob Lokman masih tetap mengukir senyuman dan berseloroh dengan tetamu yang datang menjenguknya di rumahnya di Demit, Kubang Kerian di sini hari ini.

Dengan lawak jenaka dan seloroh yang dibuatnya, tiada siapa menyangka penulis lirik lagu Isabella itu sebenarnya dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu selepas bertarung dengan sakit jantung yang dialaminya sebelum menjalani pembedahan baru-baru ini.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, yang menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu 'Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mengakui kehidupannya kini semakin baik walaupun perlu lebih berhati-hati dalam rutin hariannya.

"Doktor banyak bagi pesanan dan nasihat kepada saya. Saya akan lakukan sebaik mungkin terutama untuk mendapatkan berat badan ideal supaya jantung saya semakin baik dan perjalanan oksigen dalam badan juga kini makin stabil.

"Makanan yang berasaskan garam tidak boleh, bergula pun kena kurangkan. Jadi saya akan pastikan makanan saya adalah sebagaimana yang doktor sarankan. Kerja berat pun tak boleh," katanya.

Terdahulu, Bob Lokman menerima kunjungan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui Program Ziarah Finas Prihatin yang diketuai oleh Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid.

Ketika ditanya mengenai kehidupannya selepas ini, Bob berkata, dia akan meneruskan perniagaan laksa yang diusahakan bersama isterinya.

Malah Bob juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak terutamanya rakan seni dan orang perseorangan yang banyak membantu mempermudahkan urusan pembedahannya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ini saya akan melakukan rawatan susulan dua minggu sekali dan jika ia berjalan dengan baik, ia akan berulang untuk sebulan sekali.

"Kos rawatan semuanya ditanggung pihak hospital, saya cuma perlu tanggung perjalanan dan penginapan untuk setiap kali rawatan susulan tersebut.

"Yuran tiga anak saya yang berada di tahfiz sebanyak RM900 juga turut dibantu, saya bersyukur sangat dan berterima kasih kepada semua pihak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, lawatan ke kediaman Bob merupakan lawatan ke-103 pihaknya dalam misi membantu meringankan beban dan membantu mengukuhkan ekonomi golongan penggiat seni tanah air.

"Ia bukan sahaja bantu untuk meringankan beban mereka tapi menaikkan semangat supaya mereka tahu yang kami tidak pernah melupakan jasa-jasa yang dilakukan mereka terlibat," katanya.

Selain Bob, Finas juga melawat penyanyi popular era 80-an, Rosemaria Abdul Hamid di rumahnya di Jalan Sultanah Zainab di sini.