Lennon gembira kemenangan sulung Celtic

Neil Lennon
Neil Lennon
A
A
A

KEMENANGAN sulung Celtic menewaskan Lille 3-2 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan H Liga Europa di Celtic Park semalam nyata kejayaan paling menggembirakan pengendalinya Neil Lennon.

Menurut Lennon biarpun kemenangan berkenaan langsung tidak bermakna buat skuad kendaliannya itu, namun ia sudah cukup menggembirakannya kerana sekurang-kurangnya skuad The Bhoys itu menamatkan saingan Liga Europa kali ini dengan nota kemenangan.

“Ia satu kemenangan yang memang dinanti-nantikan dan ia menjadi aksi terbaik untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan yang agak mengecewakan kali ini.

“Perlawanan ini menyaksikan kehadiran ramai pemain-pemain yang hebat; tetapi kita tetap berjaya menjaringkan tiga gol di gelanggang sendiri.

“Secara keseluruhannya, ia adalah satu perlawanan yang kompetitif, namun saya gembira kita berjaya mengharunginya dan seterusnya mencatatkan kemenangan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Celtic membuka jaringan menerusi Christopher Jullien pada minit ke-21 sebelum Nanitamo Ikone menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Celtic kembali di depan apabila Callum McGregor menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 namun pemain Lille, Timothy Weah sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-71 sebelum David Turnbull muncul wira Celtic apabila meledak gol ketiga yang juga gol kemenangan pada minit ke-75.

Artikel Berkaitan:

David Turnbull meraikan gol ketiga jaringannya yang juga gol kemenangan Celtic.
David Turnbull meraikan gol ketiga jaringannya yang juga gol kemenangan Celtic.

Untuk rekod, Celtic menamatkan saingan Kumpulan H pada kedudukan tercorot dengan hanya meraih empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas empat kali daripada enam perlawanan.

Sementara itu Lennon turut berpuas hati dengan aksi dipamerkan Turnbull yang disifatkannya telah memberikan aksi terbaiknya di sepanjang perlawanan berkenaan.

Katanya, biarpun pemain berkenaan pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini, namun dia telah berjaya beraksi dengan baik bagi membantu kemenangan pasukan, semalam.

“Kami tahu dia (Turnbull), adalah pemain yang sungguh berbakat dan secara keseluruhannya saya berbangga dengan pasukan atas kemenangan ini.

“Kemenangan ini akan memberikan semangat kepada semua pemain untuk mengharungi saingan Liga Premier Scotland (SPFL) kelak,” katanya.