X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin kulit hitam barisi Kabinet Biden

Joe Biden dan Kamala Harris
A
A

BAKAL Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden daripada parti Demokrat pernah berjanji kepada para pengundi berkulit hitam di negaranya bahawa beliau akan mewujudkan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai warna kulit dalam sejarah AS.

Ketika menyampaikan ucapan kemenangan sebagai Presiden pada awal bulan lalu, beliau menjelaskan bahawa pengundi-pengundi kulit hitam berjaya menyelamatkan peluangnya untuk memegang jawatan tersebut.

Semasa berucap kepada para penyokongnya selepas kemenangan menewaskan Presiden AS, Donald Trump pada 7 November lalu di Chase Center, Wilmington di negeri Delaware, Biden berkata: "Terutamanya ketika kempen ini mendapat sambutan yang tercorot sekali, komuniti Amerika Afrika berdiri teguh semula bersama saya. Mereka sentiasa menyokong saya dan anda akan mendapatnya (janji-janjinya kepada penduduk berkulit hitam)."

Sebelum ini, pengundi-pengundi kulit hitam juga memberi kemenangan kepada Barack Obama yang menjadi Presiden AS pertama berkulit hitam dan memegang jawatan itu sebanyak dua penggal iaitu dari tahun 2009 hingga 2017.

Ketika itu, Biden menjadi Naib Presiden AS bagi membantu pentadbiran Obama.

Pada pilihan raya Presiden AS tahun 2008, hampir 95 peratus pengundi kulit hitam menyokong Obama menjadi Presiden manakala dalam pilihan raya Presiden tahun 2012 pula, beliau mendapat undi daripada 93 peratus pengundi kulit hitam.

Menurut pengasas bersama Dana Penting Pengundi Berkulit Hitam, Cliff Albright seperti dilaporkan akhbar The Guardian, di peringkat kebangsaan sebanyak 87 peratus pengundi kulit hitam mengundi Biden dan regunya, Kamala Harris sebagai calon Naib Presiden yang juga berkulit hitam.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, sebanyak 30 juta pengundi kulit hitam layak mengundi dalam pilihan raya AS 2020 dan ia telah mencipta sejarah tetapi mewakili 12.5 peratus daripada keseluruhan pengundi AS.

Bekas jeneral Tentera Amerika Syarikat, Lloyd Austin dicalonkan sebagai Setiausaha Pertahanan yang pertama daripada warga kulit hitam dalam sejarah negara itu. - Foto AFP
Bekas jeneral Tentera Amerika Syarikat, Lloyd Austin dicalonkan sebagai Setiausaha Pertahanan yang pertama daripada warga kulit hitam dalam sejarah negara itu. - Foto AFP

Justeru, Biden mengotakan janjinya itu apabila beliau mencalonkan jeneral Tentera AS berkulit hitam, Lloyd Austin yang berusia 67 tahun untuk menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Pertahanan AS pertama daripada keturunan Amerika Afrika.

Bagaimanapun, pencalonannya itu perlu mendapat kelulusan Dewan Senat.

Cecilia Rouse
Cecilia Rouse

Biden turut mencalonkan seorang wanita berkulit hitam pertama bagi menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi iaitu Cecilia Rouse, 56, yang juga ahli ekonomi dan Dekan Sekolah Awam dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Princeton.

Linda Thomas-Greenfield
Linda Thomas-Greenfield

Beliau juga mencalonkan seorang diplomat wanita yang berkulit hitam, Linda Thomas-Greenfield, 68, sebagai duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Harris, 56, yang juga Senator California dan bekas Ketua Peguam Negeri California bukan sahaja bakal menjadi Naib Presiden wanita pertama berkulit hitam tetapi juga mempunyai darah keturunan dari India dan Jamaica yang memegang jawatan itu.

Marcia Fudge
Marcia Fudge

Seorang lagi wanita berkulit hitam, Marcia Fudge, 68, yang juga wakil rakyat Dewan Perwakilan sejak tahun 2008 dicalonkan oleh bakal Presiden AS itu sebagai Setiausaha Perumahan dan Pembangunan Bandar.

Xavier Becerra
Xavier Becerra

Biden juga mencalonkan Ketua Peguam Negeri California, Xavier Becerra, 62, iaitu seorang lelaki sebagai rakyat AS pertama berketurunan Latin memegang jawatan Setiausaha Kesihatan.

Beliau juga mencalonkan seorang warganegara AS tetapi dilahirkan di Cuba, Alejandro Mayorkas, 61 sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Mayorkas sebelum ini ialah bekas Ketua Perkhidmatan Imigresen dan Kewarganegaraan AS semasa pentadbiran Obama sebelum memegang jawatan Timbalan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Bagi jawatan Setiausaha Perbendaharaan, Biden turut mencalonkan seorang wanita iaitu bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Obama sekali gus menjadikan beliau sebagai kaum Hawa pertama memegang jawatan itu.

Semasa pilihan raya Presiden AS pada 3 November lalu, Biden mendapat 66 peratus undi daripada pengundi berketurunan Latin iaitu peratusan hampir sama diperoleh oleh bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang tewas kepada Trump pada pilihan raya Presiden 2016.

Bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketika Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat, Susan Rice dipilih sebagai Pengarah Majlis Dasar Domestik Rumah Putih. - Foto AFP
Bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketika Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat, Susan Rice dipilih sebagai Pengarah Majlis Dasar Domestik Rumah Putih. - Foto AFP

Biden juga memilih bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketika zaman pemerintahan Obama, Susan Rice, 56, yang juga seorang wanita berkulit hitam sebagai Pengarah Majlis Dasar Domestik Rumah Putih tetapi pemegang jawatan itu tidak memerlukan kelulusan daripada Dewan Senat AS.

Calon Peguam Negara masih belum diumumkan oleh Biden tetapi seorang tokoh hak asasi manusia ternama di AS, Al Sharpton yang juga seorang lelaki berkulit hitam berharap Biden memilih warga berketurunan Amerika Afrika memegang jawatan itu.

Semasa pentabiran Obama pada tahun 2009, beliau memilih Eric Holder sebagai warga kulit hitam pertama memegang jawatan Peguam Negara.

Menurut analisis daripada akhbar New York Times, Kabinet Trump mengandungi lebih ramai lelaki berkulit putih berbanding enam Presiden AS yang terakhir sebelum ini.

Semua jawatan Kabinet dan kedudukan setara dengan Kabinet memerlukan kelulusan Dewan Senat kecuali jawatan Naib Presiden dan Ketua Kakitangan Rumah Putih.

Senarai Kabinet itu menyebabkan seorang profesor politik AS di Universiti Amerika, Jordan Tama memberitahu AFP bahawa: "Ia kelihatan sebagai Kabinet yang mempunyai paling ramai kepelbagaian warna kulit berbanding pada era mana-mana Presiden."

Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun depan memperoleh undi popular lebih 81 juta dan mendapat undi elektoral sebanyak 306 berbanding Trump meraih undi popular 74,223,030 sekali gus membolot hanya 232 undi elektoral. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!