Polis Kemaman tahan 56 tokan dadah

Polis Kemaman menahan 56 tokan dadah sepanjang operasi tahun ini bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember lalu. - Foto 123RF
Polis Kemaman menahan 56 tokan dadah sepanjang operasi tahun ini bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember lalu. - Foto 123RF
A
A
A

KEMAMAN - Polis Kemaman menahan 56 tokan dadah sepanjang operasi yang dijalankan tahun ini bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 58 tahun itu dikesan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sekitar Chukai, Cheneh, Seri Bandi, Kijal dan Kerteh.

Beliau berkata, selain menumpaskan tokan dadah, pihak polis turut menahan 70 orang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan pesalah dadah yang sama ditahan untuk kali ketiga.

Katanya, kesalahan di bawah seksyen itu membawa hukuman mandatori penjara minimum lima tahun dan sebatan.

"Pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi penagih tegar yang didapati mempunyai dua rekod positif dadah melalui ujian saringan air kencing.

"Pihak polis juga akan mengambil tindakan tegas dan akan terus memerangi habis-habisan mereka yang dikesan menjadi tokan dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis menahan seramai 2,099 orang dengan 1,850 kes membabitkan pelbagai kesalahan dadah bermula 1 Januari hingga 8 Disember lalu.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 70 peratus berbanding tahun lalu selain merupakan tangkapan tertinggi di Terengganu membabitkan pelbagai kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, kebanyakan suspek ditahan menjadikan kediaman sebagai lokasi melepaskan 'gian' setelah kebanyakan port dadah kerap diserbu pihak polis.

"Kebanyakan suspek yang ditahan menjadikan lokasi kediaman sebagai tempat untuk melepaskan ketagihan setelah lokasi biasa digunakan sering diserbu pihak polis.

"Sehubungan itu, kita minta kepada seluruh ahli keluarga supaya jangan takut untuk melaporkan kepada pihak polis sekiranya mendapati ada dalam kalangan ahli keluarga yang terjebak dalam dadah," katanya.

Berdasarkan rekod, tahun lalu Polis Kemaman merekodkan sebanyak 1,686 tangkapan melibatkan 1,436 kes bagi kesalahan dadah dalam tempoh 12 bulan bermula 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.