Tangguh dulu hajat balik kampung

Orang ramai supaya menangguhkan dahulu rancangan pulang ke kampung atau berkumpul bersama ahli keluarga kerana kes Covid-19 yang masih tinggi. - Foto 123RF
Orang ramai supaya menangguhkan dahulu rancangan pulang ke kampung atau berkumpul bersama ahli keluarga kerana kes Covid-19 yang masih tinggi. - Foto 123RF
A
A
A

WARGA kota mula berduyun-duyun pulang ke kampung halaman selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan sejak Isnin lalu. Walaupun sesetengah negeri masih dalam tempoh PKPB, larangan rentas negeri dan daerah sudah ditarik balik.

Langkah untuk tidak lagi melarang rentas negeri serta tidak melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri ketika negara masih melaporkan lebih 1,000 kes baharu Covid sehari hakikatnya telah meletakkan kedua-dua kerajaan dan rakyat dalam dilema.

Rakyat kini menjadi mangsa situasi di luar kawalan mereka iaitu ancaman Covid-19 dan tekanan ekonomi. Kerajaan pula kelihatan telah menukar strategi daripada memutuskan sepenuhnya rantaian Covid-19 kepada usaha mengehadkan penularan wabak sambil menunggu vaksin sampai ke Malaysia pada awal tahun hadapan.Angka 75,306 kes di Malaysia semalam juga dijangka akan memintas China yang mencatat 86,619 kes dalam masa beberapa hari lagi.

Justeru, walaupun sekarang merupakan musim cuti hujung tahun, Kesihatan Awam Malaysia baru-baru ini menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan dahulu rancangan pulang ke kampung atau berkumpul bersama ahli keluarga.Jika ingin balik kampung juga, individu disarankan tidak pulang serentak sebaliknya bergilir-gilir pulang dengan adik-beradik lain. Individu yang tidak sihat pula sebaik-baiknya membatalkan terus perjalanan.

Orang ramai juga harus mengelakkan sebarang kenduri-kendara, perjumpaan besar bersama keluarga, majlis hari jadi, tahlil dan majlis sosial.

Apatah lagi sikap orang ramai yang semakin lalai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tiada penjarakkan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dikatakan punca peningkatan kes berkenaan.

Kebenaran merentas negeri bukanlah tiket untuk menyebarkan penyakit ini. Berikutan catatan kes Covid-19 masih tinggi khususnya di Selangor, kita sepatutnya mengelakkan untuk pergi ke zon hijau termasuk balik ke kampung.

Kehilangan ahli keluarga tersayang akibat Covid-19 yang kita sendiri sebarkan tentulah lebih memeritkan berbanding tidak dapat pulang ke kampung buat masa ini.

Artikel Berkaitan: