X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

'Spekulasi UMNO, DAP bekerjasama mungkin jadi kenyataan'

A Kadir Jasin
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin menegaskan spekulasi UMNO dan DAP membentuk kerjasama politik mungkin menjadi kenyataan.

Memetik portal MalaysiaKini, A Kadir berkata, beliau menerima maklumat mengenai kemungkinan kerjasama UMNO-DAP itu sebelum kejatuhan kerajaan Perak yang dipimpin Bersatu.

Menurutnya, sejam sebelum kejatuhan kerajaan Perak, beliau dimaklumkan oleh orang kepercayaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perkara itu akan berlaku dan bertanya siapa yang akan menggantikan kerajaan Perak.

“Beliau (sumber itu) memaklumkan pada jam 10.04 pagi bahawa UMNO 25, DAP 16, Parti Amanah Negara (Amanah) 5, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3. UMNO jadi Menteri Besar. Sumber itu juga memaklumkan DAP setuju untuk bekerja dengan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Pas dolak-dalik faktor UMNO cari kerjasama baharu

Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Sejam kemudian, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai Menteri Besar Perak.

Ahmad Faizal menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak menggabungkan Bersatu, Pas, UMNO serta Gerakan dan seorang Bebas.

Bagaimanapun, 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bergabung dengan 24 lagi wakil rakyat pembangkang Pakatan Harapan (PH) menentang Ahmad Faizal dalam undian usul percaya Menteri Besar Perak.

Berikutan kejadian itu, A Kadir berkata, beliau bertanya kepada ahli jawatankuasa pusat DAP mengenai dakwaan hubungan DAP dan UMNO tetapi pemimpin itu menolak spekulasi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa minit kemudian seorang pengurus tabungan keturunan Cina Malaysia yang berpengkalan di Hong Kong memberitahu hal yang sama.

"(Katanya) UMNO dan DAP kerja bersama. Pasukan impian akhirnya menjadi kenyataan. Apakah mesej-mesej mengenai kerjasama UMNO-DAP ini omong kosong semata-mata atau pratayang kepada realiti yang sedang menjelang," soalnya.

A Kadir juga bertanya jika UMNO yang terdesak untuk kembali berkuasa tidak terfikir untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang kuat seperti DAP.

“Barisan Nasional (BN) sudah nazak. MCA dan MIC tidak dapat menarik undi bukan Melayu lagi. Undi Cina dan India sudah dibolot DAP. Tidak menghairankan jika DAP, yang pernah merasa nikmat kuasa melalui PH, beraspirasi untuk kembali semula ke Putrajaya melalui sebuah pakatan baru yang termasuk UMNO.

“Kalau Dr Mahathir Mohamad boleh bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menumbangkan BN, apakah UMNO tidak terfikir kaedah yang sama?

“Wallahuaklam. Demikianlah muslihat dan tipu-helah politik di mana konspirasi bukan sekadar teori tetapi boleh bertukar menjadi realiti," katanya.

Ulasan A Kadir muncul ketika pemimpin UMNO dan DAP membayangkan mereka terbuka untuk bekerjasama di Perak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga telah memberikan isyarat serupa.

Awal hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad memuji PH sebagai rakan strategik di tengah-tengah desakan beberapa pihak dalam Bersatu untuk menggulingkan Hasni dengan cara yang sama seperti UMNO menggulingkan Ahmad Faizal di Perak.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan mudah meluluskan belanjawan yang dibentangkan Hasni.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!