Karim belum buat keputusan

Datuk Karim Ibrahim
Datuk Karim Ibrahim
A
A
A

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim masih dalam pertimbangan sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau tidak pada sesi pemilihan badan induk olahraga negara itu Jun depan.

Karim yang dilantik sebagai Presiden KOM pada tahun 2014 berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan tentang kedudukannya itu disebabkan publisiti buruk mengenai beliau dalam media.

“Bergantung kepada keluarga saya kerana mereka sudah muak membaca artikel yang diputar belit dalam media. Lagipun masih terlalu awal, bila sudah sampai masanya barulah buat keputusan.

“Saya menawarkan khidmat saya secara sukarela dalam KOM, tiada sesiapa yang membayar gaji saya termasuk kerajaan kita. Tunggu sehingga pemilihan Jun, biarlah majlis kepimpinan tertinggi KOM membuat keputusan, sama ada mereka masih memerlukan khidmat saya atau sebaliknya,” ujarnya.

Terdahulu, Karim diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang memintanya meletak jawatan sebagai Presiden KOM selepas beliau dilucutkan jawatan dalam Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada Mei tahun lepas.

Karim kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Panel Penilai IAAF itu, namun badan kehakiman antarabangsa tersebut telah mengesahkan kepada Bernama bahawa keputusan muktamad dibuat pada 17 Disember iaitu menolak rayuannya.

Laporan media mengaitkan penyingkirannya dengan satu dokumentari yang disiarkan oleh badan penyiaran awam Jerman, ARD pada Mac 2016, menuduh Karim melindungi amalan doping di Malaysia.

KOM yang sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Olahraga Malaysia, mengenakan tindakan penggantungan enam tahun ke atas Karim pada 2012 kerana terbabit dalam kes membantu enam atlet olahraga yang enggan menjalani ujian doping yang dijalankan Institut Sukan Negara (ISN) pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Karim membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini dan berjaya membatalkan hukuman penggantungan itu yang kemudian dilantik sebagai Presiden KOM pada penghujung 2014.

“IAAF tidak mendapati saya bersalah atas apa-apa, mereka menyingkirkan saya kerana hal pentadbiran. Ini apa yang telah dimaklumkan IAAF kepada CAS apabila saya mengajukan soalan kepada mereka tentang alasan mereka mendapati saya bersalah.

“Pendirian IAAF jelas mengenai perkara itu. Saya masih mempunyai hubungan baik dengan IAAF,” katanya. - Bernama