Bukan saya yang halang Anwar jadi PM: Tun M

Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa bukan beliau yang menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, sebelum ini memang beliau berpendapat untuk tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kerana beliau dikatakan hilang kelayakan disebabkan oleh faktor tertentu.

Bagaimanapun katanya, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi kleptokrat, beliau sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk menjatuhkan Najib.

“Saya tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan ganti saya apabila saya letak jawatan.

“Tetapi belum sampai masanya konco-konco Anwar sudahpun mendesak saya supaya letak jawatan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Dakwa Dr Mahathir, pada 21 Februari 2020 lalu, beliau diberitahu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa Mesyuarat Majlis Presiden PH akan mendesak supaya beliau meletakkan jawatan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Kononnya, saya akan dipaksa untuk melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.

“Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar daripada PH untuk jatuhkan kerajaan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, dalam masa sama, Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah merancang bekerjasama dengan Muafakat Nasional bagi menubuhkan kerajaan baharu menggantikan PH.

Pada masa sama, beliau berkata, Mohamed Azmin pula mengesahkan bahawa apabila cadangan itu dibuat dalam Majlis Presiden PH, beliau akan ‘walk out’.

"Akan tetapi, setelah berbincang dengan panjang lebar, maka masing-masing bersetuju supaya saya diberi kuasa untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa sahaja yang beliau mahukan. Ini bermakna PH masih sokong saya.

“Justeru, saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pada 23 Februari 2020, beliau telah memberitahu Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar daripada PH perlu ditangguh kerana PH masih menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Katanya, apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan beliau dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, beliau merayu supaya menangguhkan cadangan Bersatu untuk keluar daripada PH.

“Saya syorkan supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.

“Pendek cerita, majlis tersebut menolak syor saya dan bersetuju Bersatu keluar dari PH dengan serta-merta.

“Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH," katanya.

Justeru, beliau berkata, itu adalah keputusan muktamad.

Katanya, kepercayaan beliau sebagai pengerusi parti sudah tidak ada dan keputusan yang dibuat itu bermaksud Bersatu sudah keluar dari PH dan kerajaannya sudah jatuh.

Oleh hal demikian, beliau membuat keputusan untuk mengisytiharkan sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan juga Perdana Menteri.

“Walaupun ada ura-ura yang menyatakan saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, namun saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah UMNO bakal menjadi sebahagian daripada kerajaan yang saya pimpin,” katanya.

Menurutnya, peletakan jawatan beliau tidak ada kena mengena dengan cadangan PH supaya Anwar mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar daripada PH, maka PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan dan saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Yang akan menjadi Perdana Menteri ialah orang yang akan mendapat sokongan majoriti apabila pengakuan ahli Yang Berhormat di hadapan Yang di-Pertuan Agong diadakan,” katanya.

Beliau menerusi blognya turut menjelaskan bagaimana Anwar gagal dilantik menjadi Perdana Menteri seperti yang telah dipersetujui.

Dr Mahathir berkata, 92 ahli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang menamakan Anwar sebagai pilihan mereka.

“Saya hanya dapat 66 ahli sahaja. Jika ketiga-tiga parti dalam PH menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya.

“Akan tetapi, disebabkan mereka memberi 92 kepada Anwar, maka saya kalah dan Anwar juga gagal,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, setelah pencalonan Anwar gagal, PH ingin kembali menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri dan Anwar juga bersetuju tetapi dengan syarat beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya tidak bersetuju kerana ingin mengekalkan Kabinet lama.

“Akhirnya Anwar bersetuju dan berusaha mendapatkan jumlah yang cukup untuk PH kembali menjadi kerajaan. Dengan sokongan ahli parti Sabah, jumlah telahpun meningkat kepada 114,” katanya.

Malangnya, beliau berkata, Muhyiddin sudahpun berjaya mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Akan tetapi, beliau berkata, usaha untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan oleh PH.

“Pihak saya dan penyokong bersetuju untuk menyertai usaha ini, tetapi Anwar menolak penyertaan saya.

“Jika saya ditolak, penyokong saya juga tidak akan menyertai cadangan ini. Kita tidak akan dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat untuk mencukupi bilangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat cadangan yang telah dibuat supaya beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

“Amanah dan beberapa ahli DAP bersetuju, namun ianya ditolak oleh Anwar kerana beliau tidak mahu saya terlibat sama sekali.

“Tetapi jika saya tidak diberi tempat, penyokong saya tidak akan sokong cadangan PH. Lagi pun agak sukar mencari tiga orang lagi untuk mendapat majoriti.

“Walau bagaimanapun, pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas enam bulan tidak diterima atau dipercayai Anwar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, perancangan yang munasabah adalah apabila dewan bersidang.

“Jika PH mempunyai bilangan yang mencukupi, maka Muhyiddin boleh dikalahkan semasa belah bahagi dengan pembangkang yang mempunyai 114,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, Muhyiddin masih lagi mendapat 112 dan tidak dapat dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan.

“Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai Perdana Menteri. Anwar kalah dan tidak jadi Perdana Menteri.

“Kemudian Anwar mengisytiharkan beliau sudah mendapat bilangan yang cukup dan mengatakan Muhyiddin sudah tidak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, kenyataan Anwar itu sememangnya tidak benar kerana seperti yang semua maklum, Anwar masih tidak dapat menjadi Perdana Menteri.

“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang.

“Pada tahun 2008 pun Anwar gagal. Apakah saya juga yang menghalang Anwar?” soal beliau.

PERDANA MENTERI 1. Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri ialah kerana saya...

Posted by Dr. Mahathir bin Mohamad on Friday, November 20, 2020