Misteri ketukan pintu terus hantui penduduk Sabak Bernam

Penduduk di Taman Air Manis pula gempar bunyi ketukan pintu misteri di rumah jiran malam tadi.
Penduduk di Taman Air Manis pula gempar bunyi ketukan pintu misteri di rumah jiran malam tadi.
A
A
A

SABAK BERNAM - Misteri bunyi ketukan pintu rumah terus menghantui penduduk di Sabak Bernam semalam.

Seorang suri rumah, Noraidayawati Mohd Tahar, 47, berkata, gangguan bunyi ketukan pintu didengarinya terlalu kuat di belakang rumah berhampirannya kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurutnya, dia bersama suaminya, Rahim Amat, 53, dan tiga anaknya mendengar dengan jelas bunyi ketukan yang berterusan dianggarkan selama 10 minit.

"Kami sekeluarga seram hendak mengintai di tingkap, lebih-lebih lagi kejadian ini tular sejak kelmarin," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Noraidayawati berkata, dia pada mulanya menyangka hanya mereka sekeluarga yang mendengar bunyi misteri itu, sebelum jirannya menghantar WhatsApp memaklumkan perkara sama.

"Jiran beritahu dia juga ada terdengar bunyi ketukan pintu rumah sangat kuat di rumah jiran dan bertanya dengan pemilik rumah terbabit tentang gangguan tersebut.

"Bagaimanapun, pemilik rumah memaklumkan dia tidak mendengar apa-apa bunyi pelik.

"Sehingga kini, kami masih hairan dengan punca misteri bunyi ketukan kuat tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri ketukan pintu hantui penduduk

Sementara itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, pihaknya yang membuat pemantauan menerusi Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) di taman itu mengakui menerima aduan terbabit.

Beliau berkata, seramai 10 anggotanya yang tiba di rumah terbabit mendapati bunyi gangguan itu sudah tidak kedengaran.

"Apabila ditanya penghuni rumah terbabit mereka mendakwa tidak mendengar apa-apa bunyi ketukan, sebaliknya hanya penduduk sekeliling yang mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat itu.

"Sehingga kini kami telah menerima lima aduan penduduk berhubung gangguan bunyi misteri itu sejak kelmarin dan antara langkah yang telah diambil ialah dengan meningkatkan rondaan cegah jenayah pada setiap malam sehingga awal pagi," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman berkata, tiada lagi aduan penduduk di kampung itu yang mengadu terdengar bunyi ketukan pintu tanpa salam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan meneruskan rondaan malam berikutan masih terdapat beberapa kampung berhampiran masih diganggu bunyi misteri itu.

"Saya difahamkan bunyi gangguan di kampung lain masih ada, tetapi tidaklah seteruk semasa kejadian hari pertama dan kedua kelmarin," katanya.