KWSP peruntuk RM61 bilion bantu rakyat

Tengku Zafrul Abdul Aziz - Foto Bernama
Tengku Zafrul Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Nilai keseluruhan inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun ini dan tahun depan adalah sebanyak RM61 bilion.

Inisiatif tersebut berdasarkan kepada program i-Sinar dianggarkan bernilai sebanyak RM14 bilion, program i-Lestari RM30 bilion, pengurangan caruman pekerja kepada tujuh peratus bagi tahun 2020 bernilai RM8 bilion.

Sementara pengurangan caruman kepada sembilan peratus bagi tahun 2021 pula dianggarkan sebanyak RM9 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedar bahawa KWSP merupakan simpanan hari tua ahli, maka terdapat keperluan untuk mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini dengan kepentingan persaraan untuk masa depan.

"Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluan ini.

"KWSP memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya iaitu mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, program i-Sinar akan berjalan serentak dengan beberapa lagi inisiatif dan bantuan menerusi KWSP termasuk program i-Lestari dan pengurangan caruman bulanan oleh pekerja yang telah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Belanjawan 2021.

"Kerajaan ingin mengingatkan bahawa bantuan lain bagi melindungi rakyat di bawah Prihatin, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin), serta Belanjawan 2021 masih berjalan atau bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, pembayaran rayuan Bantuan Sara Hidup 2020, pembayaran Geran Khas Prihatin 2.0, Program Subsidi Upah 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat dan pelbagai lagi.

"Dalam hal ini, kerajaan tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan dan insentif untuk membolehkan rakyat menghadapi cabaran-cabaran semasa ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan sejak Mac 2020 iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin bernilai RM305 bilion.

"Ini termasuk Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM322.5 bilion adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk melindungi kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara berterusan," katanya.