Menteri kecam tindakan perusuh

Keadaan jentera EMRS yang rosak dipercayai dipukul objek keras dalam kejadian itu.
Keadaan jentera EMRS yang rosak dipercayai dipukul objek keras dalam kejadian itu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan perusuh di Kuil Seri Maha Mariamman, Seafield, yang menyerang anggota penyelamat awal pagi tadi.

Zuraida berkata, beliau dimaklumkan seorang anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) telah cedera diserang oleh perusuh.

"Perusuh juga dipercayai telah melakukan kerosakan kepada kenderaan dan kelengkapan JBPM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba cedera, jentera dirosakkan]

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ke atas anggota penyelamat yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Zuraida berkata, pihaknya dimaklumkan ketika kejadian anggota tersebut masih lagi berada dalam kenderaan sebelum ditarik keluar dan dipukul oleh perusuh.

"Kita berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan bertindak tegas kepada pelaku yang menyebabkan insiden ini.

"Bagi anggota JBPM yang tercedera semasa insiden tersebut berlaku, KPKT akan memastikan beliau mendapat kemudahan perubatan dan rawatan sewajarnya," katanya.

Zuraida berkata, insiden ini perlu ditangani dengan secara berhemah, wakil-wakil dari persatuan, rumah ibadat dan pihak yang berkepentingan perlu mencapai satu konsensus secara muafakat untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.

Artikel Berkaitan:


"Satu proses mediasi atau perbincangan perlu dilaksanakan secara segera agar inisiden ini tidak berlarutan, bagi menjaga keharmonian dan keamanan rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya.