Semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke Dewan Rakyat

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Semua ahli Parlimen hari ini dibenarkan untuk memasuki Dewan Rakyat bagi mengikuti Belanjawan 2021.

Keputusan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas mendengar pandangan daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, sebelum pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangkit meminta Azhar Azizan mempertimbang semula keputusan untuk menghadkan jumlah ahli Parlimen untuk masuk ke Dewan Rakyat.

Beliau turut meminta dewan ditangguhkan selama lima minit untuk membolehkan semua ahli Parlimen yang berada di luar untuk masuk bagi mengikuti pembentangan belanjawan tersebut.

"Dalam masa sejam dua jam (ahli Parlimen masuk ke dewan hari ini), saya tidak fikir ia akan menjejaskan kesihatan.

"Saya mohon pertimbangan pengurusan Yang Dipertua untuk menangguhkan (persidangan) lima minit untuk membolehkan ahli Parlimen di luar untuk masuk ke dewan," katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson itu, Azhar berkata, keputusan mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen memasuki dewan merupakan keputusan konsensus bersama Ketua Whip Parlimen semua parti.

"Kita telah berbincang semalam bersama semua Ketua Whip parti dan keputusan dibuat secara konsensus. Pagi ini juga kita turut berbincang," katanya.

Sejurus selepas itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin bangkit bersetuju meminta semua ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat untuk turut serta dalam belanjawan yang amat penting.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta Yang Dipertua untuk membenarkan kerana pembentangan ini sangat penting kepada kita semua," katanya

Selepas mengambil kira pandangan yang disuarakan ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang berhubung perkara yang dibangkitkan itu, Azhar kemudiannya menangguhkan persidangan selama lima minit bagi membolehkan semua ahli Parlimen masuk untuk sertai pembentangan tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pengecualian itu hanya dibenarkan pada hari ini dan mulai Isnin depan sehingga tamat sesi persidangan hanya 80 ahli Parlimen dibenar masuk untuk satu-satu masa selaras dengan usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19.