X

Kindly register in order to view this article
!

Lima lelaki didakwa rogol murid Tahun Enam

Kesemua tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret/Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima lelaki termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang murid Tahun Enam pada September lalu.

Namun kedua-dua tertuduh berusia 16 dan 17 tahun bersama tiga rakan mereka, Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 21, Muhammad Ghardafi Abdullah, 20, dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 23, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama.

Mengikut pertuduhan, mereka berusia antara 16 hingga 23 tahun didakwa bersama-sama merogol mangsa yang berusia 12 tahun secara berkumpulan antara jam 9 malam hingga 11 malam di dalam ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun pada 29 September lalu.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Kedua-dua remaja serta tertuduh, Mohd Ghadafi diwakili peguam bela Nik Mohd Radhia Nik Mohd Abd Ghani, manakala tertuduh, Ahmad Syah Herfudin diwakili peguam bela, Masliela Ismail.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut melibatkan mangsa yang masih kanak-kanak dan disebabkan kejadian itu, mangsa mengalami tekanan teruk serta trauma sehingga tidak mahu ke sekolah.

Selain itu, pihak pendakwaan memberi alasan demi keselamatan mangsa dan ahli keluarga terdekat kerana keluarga mangsa ada mengadu selepas kejadian, mereka diganggu selain menerima ugutan daripada keluarga tertuduh dan kejadian ini sudah menjadi tular di laman sosial.

Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan rayuan kesemua tertuduh, mahkamah membenarkan mereka dibebaskan dengan jaminan RM18,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kedua-dua remaja berkenaan diarahkan dihantar ke Asrama Rusila Marang sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

ARTIKEL BERKAITAN [DIKEMASKINI] Lima ditahan disyaki noda murid Tahun Enam

Mahkamah juga menetapkan beberapa syarat yang wajib dipatuhi iaitu tertuduh wajib melaporkan diri di Balai Polis Ketengah Jaya setiap 1 dan 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Selain itu, mereka dilarang sama sekali mengganggu mangsa mahupun ahli keluarga dan saksi perbicaraan sepanjang prosiding.

Mahkamah seterusnya menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersendirian untuk mengambil ibunya yang berniaga di pasar malam tidak jauh dari rumahnya.

Dalam perjalanan itu, mangsa dikatakan ditahan dua suspek yang seorang daripadanya dikenali mangsa sebelum mengajaknya ke tempat sunyi.

Sebaik tiba di tempat tersorok dalam ladang sawit, mangsa yang pelik dengan perbuatan suspek cuba menghubungi seseorang untuk meminta tolong, namun telefon bimbit mangsa dirampas.

Mangsa dirogol oleh kedua-dua suspek sebelum tiga lagi rakan suspek datang dan turut merogol mangsa.