Pemuda Bersatu Selangor sambut baik cadangan AMK

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Bersatu Selangor menyambut baik cadangan keseluruhan komponen PH terutama di peringkat atasan supaya memberi penumpuan kepada agenda orang Melayu.

Ketua Pemudanya, Adhif Syan Abdullah berkata, cadangan oleh Ketua AMK Selangor, Mohd Najwan Halimi itu perlu diambil serius ekoran banyak peristiwa berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ia termasuk kekalahan parti kerajaan pada PRK Parlimen Cameron Highlands digabungkan pula dengan taktik keji Umno/Pas yang menggunakan sentimen perkauman sebagai alat meraih simpati dan undi orang Melayu hingga memberi kesan kepada persepsi rakyat terhadap keikhlasan PH dalam menjuarai isu-isu orang Melayu.

“Kepimpinan PH tidak boleh menafikan hakikat bahawa secara terkumpul pun, pecahan sokongan orang Melayu kepada semua parti komponen PH, masih jauh lebih kecil dari yang dinikmati Umno dan Pas.

“Tentu sekali meraih sokongan mereka akan mengambil masa, khususnya bagi orang Melayu luar bandar. 70 tahun mereka diasimilasi dengan parti Umno/Pas, tentu sekali ia tidak akan berubah dalam masa tidak sampai setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Adhif Syan berkata, sebelum ini, Najwan mengeluarkan kenyataan agar seluruh komponen PH, khususnya kepimpinan di peringkat atasan dapat memberi fokus kepada agenda orang Melayu.

Menurutnya, keadaan membimbangkan sekiranya ada pihak tertentu cuba memaksa orang Melayu menerima kaedah dan cara liberal barat yang ekstrem tanpa mengambil kira sejarah tempatan.

“Pemuda Bersatu Selangor tidak akan berdiam diri bagi memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu/Islam seperti mana termaktub dalam perlembagaan parti dan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Pihak berkenaan gemar memetik Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan, tetapi tidak pula memetiknya apabila melibatkan hak orang Melayu.

Jelaslah pihak-pihak ini bersikap hipokrit dan hanya memetik perlembagaan apabila ia sesuai dengan naratif mereka sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Adhif Syan yang juga Adun Dengkil memaklumkan bahawa sekiranya hak dan kepentingan orang Melayu diangkat, kepentingan rakyat Malaysia berbilang kaum secara keseluruhan turut mendapat tempias dan akan dijaga sebaiknya.

“Kita juga menyeru supaya kepimpinan atasan semua parti komponen PH lebih sensitif dan cakna mengenai isu orang Melayu bukan sahaja dalam pembentukan polisi, malah melalui kenyataan di khalayak ramai atau media.

“Hanya segmen pengundi Melayu sahaja masih belum betul-betul boleh menerima PH. Justeru, logiknya kerajaan wajar memberi penekanan khusus kepada orang Melayu dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih inklusif serta saksama,” katanya.