Enam kedai di Pekan Umbai terbakar

Anggota sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran rumah kedai lama di Pekan Umbai, di sini, tadi. Gambar kecil: Muhammad Izwan Arief
Anggota sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran rumah kedai lama di Pekan Umbai, di sini, tadi. Gambar kecil: Muhammad Izwan Arief
A
A
A

JASIN - Enam buah rumah kedai sederet dua tingkat berusia lebih 30 tahun di Pekan Umbai, di sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Bomba ll Muhammad Izwan Arief Mat Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.19 malam dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Menurutnya, 33 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Balai Ayer Keroh, Balai Padang Temu dan Balai Merlimau dikejarkan ke lokasi kejadian dengan bantuan tiga buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta water tanker.

Katanya, antara kedai yang terbakar adalah kedai membaiki motosikal, kedai peralatan logam dan kedai runcit, manakala kebakaran dipercayai bermula dari kedai peralatan logam sebelum merebak ke kedai lain.

"Setakat ini sebanyak lima buah kedai terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi kedai terbakar kira-kira 80 peratus.

"Memandangkan semua kedai berstruktur papan menyebabkan api lebih mudah merebak dan marak sebelum kebakaran dapat dikawal jam 8.16 malam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, pihak bomba turut berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran berikutan kekurangan bekalan air namun berjaya mengatasi masalah itu dengan bantuan bekalan air dari balai bomba berdekatan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Selain itu polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut membantu mengawal lalu lintas.