Lindungi hak warga emas

Isu peningkatan populasi masyarakat usia emas telah menjadi satu perkara penting yang dibincangkan di seluruh dunia.
Isu peningkatan populasi masyarakat usia emas telah menjadi satu perkara penting yang dibincangkan di seluruh dunia.
A
A
A

Isu peningkatan populasi masyarakat usia emas telah menjadi satu perkara penting yang dibincangkan di seluruh dunia. Faktor seperti penjagaan kesihatan fizikal, emosi dan mental yang baik, pemakanan seharian yang seimbang, persekitaran yang nyaman dan bersih boleh menyumbang ke arah peningkatan umur yang panjang.

Pada usia begini, warga emas mahu terus kekal sihat, dikelilingi orang yang tersayang dan tenang dalam menjalankan ibadat atau apa jua aktiviti harian yang diminati. Namun, apa yang menyedihkan apabila terdapat peningkatan kadar penderaan dan pengabaian golongan ini yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan jangkaan penuaan di Malaysia pada tahun 2035, populasi masyarakat ini di Malaysia akan mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Malaysia pada tahun tersebut akan mencapai status negara menua. Ketiadaan mekanisme perundangan yang khusus dalam melindungi warga emas akan meningkatkan kes-kes penderaan dan pengabaian warga emas di negara ini. Usia emas merupakan satu anugerah ALLAH SWT kepada insan-insan yang terpilih. Golongan itu wajar diberi perhatian dan penjagaan yang baik. Sungguhpun belum wujud satu undang-undang khusus yang melindungi golongan itu namun indahnya Islam telah mengangkat kemuliaan warga emas dengan menggariskan hak-hak mereka yang perlu disantuni dan dipelihara.

Sewajarnya mereka dituntut untuk dihormati dan dimuliakan. Kepentingan menghormati dan memuliakan warga emas dijelaskan oleh Nabi SAW dalam satu hadis sahih yang bermaksud: “Sesungguhnya termasuk pengagungan kepada ALLAH adalah memuliakan orang yang sudah beruban dalam kalangan orang Muslim, memuliakan ahli Qur’an dengan tidak berlebihan dan tidak mengurangkannya dan memuliakan para pemimpin yang adil.”

Antara bentuk-bentuk perbuatan yang memuliakan warga emas adalah memberi salam, memberi laluan ketika warga emas berjalan, membantu atau memimpin warga emas ketika melintasi jalan, mendahulukan warga emas ketika beratur mendapatkan sesuatu perkhidmatan serta menyedia dan mengutamakan warga emas.

Pada usia begini, emosi golongan itu juga agak sensitif. Jadi berbicaralah dengan golongan itu dengan bahasa yang lembut dan sopan.

Selain kesantunan dalam komunikasi warga emas juga adalah golongan yang perlu diutamakan dalam banyak perkara. Islam mendidik umatnya agar mendahulukan warga emas ketika berbicara, makan, beratur dan sebagainya. Ini merupakan satu penghormatan yang dikurniakan kepada warga emas di atas kedudukan mereka sebagai ibu bapa dan mereka yang lebih berpengalaman berbanding golongan muda.

Keutamaan

Artikel Berkaitan:

Termasuk hak warga tua yang perlu ditunaikan adalah menjaga hal ehwal kesihatan mereka. Usia yang tua menjadikan tubuh badan semakin lemah. Begitu juga kemampuan anggota pancaindera. Tingkah laku juga berubah sehingga ada dalam kalangan warga tua yang kembali kepada tingkah laku kanak-kanak.

Semua aspek itu perlu diperhatikan dan diberi penjagaan yang baik agar tahap kesihatan warga emas di negara ini dapat dipertingkatkan. Sekiranya kesihatan masih baik, golongan ini boleh terus menyumbang dengan produktifnya terutama dari segi memberi buah fikiran, kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas.

Mendoakan warga emas apatah lagi daripada seorang anak kepada ibu bapa adalah suatu amalan yang memberi kesejahteraan kepada golongan ini, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Tuntutan mendoakan kebaikan tidak boleh dipandang ringan bahkan ia adalah tanda penghargaan generasi muda khususnya anak-anak terhadap pengorbanan ibu bapa dalam menjaga dan membesarkan mereka.

Melindungi warga emas dan menjaga kesejahteraan mereka adalah suatu amalan yang perlu disuburkan dalam masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat prihatin perlu memastikan agar golongan itu tidak kira agama dan bangsa dapat terus hidup dalam penuh kebaikan dan kebahagiaan.

Sudah tiba masanya kita perlu agresif dalam menggubal undang-undang khusus yang melindungi hak-hak warga emas daripada sebarang bentuk penganiayaan dan pengabaian. Sejahteranya warga emas di sesebuah negara bermula dari dalam keluarga sendiri dan masyarakat.

* Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah ialah Pengarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala Hasiah Mat Salleh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah