Pesara polis maut ketika hantar cucu ke tadika

Kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun remuk di bahagian depan selepas berlanggar dengan motosikal dinaiki pesara polis dan cucunya di Kilometer 3, Jalan Sitiawan - Kampung Acheh, Manjung hari ini. - Foto pembaca.
Kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun remuk di bahagian depan selepas berlanggar dengan motosikal dinaiki pesara polis dan cucunya di Kilometer 3, Jalan Sitiawan - Kampung Acheh, Manjung hari ini. - Foto pembaca.
A
A
A

LUMUT - Seorang pesara polis maut manakala cucunya berusia enam tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 3, Jalan Sitiawan - Kampung Acheh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa, Azmin Hassan, 59, yang menunggang motosikal jenis EX5 dalam perjalanan menghantar cucu lelakinya itu ke tadika berhampiran.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah Sitiawan menghala ke Kampung Acheh.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan jalan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta tidak sempat brek, lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya.

Nor Omar berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kanak-kanak tersebut cedera di tangan dan kaki dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan selanjutnya.

“Tangkapan sudah dibuat terhadap pemandu kereta berusia 34 tahun itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: