X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita, anak lelaki maut tersepit dalam lori

Keadaan lori yang terbabit nahas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands petang tadi hingga mengorbankan dua beranak.
A
A

IPOH - Seorang wanita dan anak lelakinya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbabas Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, menghala ke Cameron Highlands di sini petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang itu, mangsa bersama anaknya berusia tiga tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit apabila lori dipandu suami wanita berkenaan terbabas ketika melalui selekoh tajam.

Suami mangsa, Mohd Zuki Abu Bakar, 35, yang beralamat dari Nibong Tebal, Pulau Pinang mengalami kecederaan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, lori dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Cameron Highlands.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, lori muatan tiang besi itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum masuk ke longkang.

"Keadaan itu menyebabkan wanita dan anaknya yang duduk di bahagian hadapan penumpang tersepit. Kedua-duanya berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

A Asmadi bagaimanapun berkata, butiran kedua-dua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.

Beliau berkata, pemandu lori itu masih menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!