465 kes cuba bunuh diri dalam tempoh enam bulan

Dr Adham Baba (kiri). - Foto Bernama
Dr Adham Baba (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh dari Januari hingga Jun pada tahun ini berbanding sebanyak 675 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lalu dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi membantu menangani isu berkenaan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mewujudkan talian bantuan masing-masing.

Menurutnya, secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.

"Ia berpunca daripada faktor-faktor seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan The Orchid Clubhouse Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2020 di sini semalam.

Dr Adham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 800,000 orang membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

Menurutnya, secara global, kejadian bunuh diri adalah antara 20 penyebab utama kematian bagi semua peringkat umur dan satu daripada tiga penyebab utama kematian dalam kalangan umur 15 hingga 44 tahun.

Sementara itu, Dr Adham berkata, tema hari pencegahan bunuh diri pada tahun ini iaitu 'Let's TALK Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri' bertepatan dengan situasi pandemik koronavirus (Covid-19) yang mempunyai impak signifikan terhadap kesihatan mental.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain kempen dan promosi, KKM juga menyediakan perkhidmatan mental termasuk di 1,001 klinik kesihatan mental seluruh Malaysia, empat institusi mental, 66 hospital kerajaan dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari). - Bernama