465 kes cuba bunuh diri dalam tempoh enam bulan

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh dari Januari hingga Jun pada tahun ini berbanding sebanyak 675 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lalu dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi membantu menangani isu berkenaan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mewujudkan talian bantuan masing-masing.
Menurutnya, secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.
"Ia berpunca daripada faktor-faktor seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.